u-Pustaka tawar lebih sejuta bahan bacaan digital secara percuma

SHAH ALAM – Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah memperkenalkan platform digital u-Pustaka yang menawarkan lebih sejuta bahan bacaan dalam talian secara percuma untuk rakyat.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, ia bagi memastikan ketercapaian bahan bacaan kepada seluruh lapisan masyarakat sekali gus membolehkan masyarakat mengakses pelbagai bahan digital termasuk e-buku, e-majalah, e-surat khabar, buku audio, e-pembelajaran dan e-jurnal pada bila-bila masa.
Katanya, sehingga kini u-Pustaka telah merekodkan sebanyak 2,985,170 rekod bibliografi dengan 1,014,356 judul koleksi digital, serta menyediakan 22 pangkalan data digital untuk kegunaan umum.
"Antara pangkalan data tersebut termasuk Overdrive, Alkem Digital Library, Mason Crest, Emerald eBook, JGate, Lawnet, Odilo dan MyGuru, menjadikan u-Pustaka sebagai gedung ilmu maya yang komprehensif dan inklusif.
"Ia juga mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang, selain memperkukuh perpaduan nasional melalui perkongsian ilmu dan kefahaman antara masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya," katanya.
Sebagai rekod, Kajian Profil Membaca mencatatkan peningkatan ketara dalam kadar bacaan rakyat Malaysia sejak dua dekad lalu.
Pada tahun 2005, purata rakyat hanya membaca dua buku setahun, bagaimanapun sepuluh tahun kemudian, jumlah itu melonjak kepada 15 buah buku dan pada tahun 2023 meningkat lagi kepada 24 buah buku setahun.
Daripada jumlah berkenaan, purata 16 buku dibaca dalam bentuk fizikal manakala lapan lagi secara dalam talian, mencerminkan keseimbangan antara minat membaca konvensional dan digital dalam kalangan masyarakat.
Selain itu, kajian terkini turut menunjukkan 88.6 peratus rakyat Malaysia kini merupakan pembaca aktif, sekali gus membuktikan keberkesanan pelbagai dasar dan inisiatif kerajaan dalam memperkukuh budaya ilmu.
Peningkatan tersebut menggambarkan kejayaan usaha kerajaan memperluas akses kepada bahan bacaan dan memupuk kesedaran tentang pentingnya membaca sebagai budaya kehidupan seharian.
Ringkasan AI
- Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia memperkenalkan u-Pustaka, platform digital percuma dengan lebih sejuta bahan bacaan
- u-Pustaka mencatat 2,985,170 rekod bibliografi dan 1,014,356 judul koleksi digital, serta menyediakan 22 pangkalan data digital
- Pangkalan data termasuk Overdrive dan Alkem Digital Library, menyokong akses tanpa had bagi semua rakyat Malaysia
- Kadar bacaan meningkat dari dua buku setahun pada 2005 menjadi 24 buku pada tahun 2023, dengan kombinasi bahan bacaan fizikal dan digital
- Kajian terkini menunjukkan 88.6 peratus rakyat Malaysia merupakan pembaca aktif, mencerminkan keberhasilan inisiatif kerajaan dalam mempromosikan budaya ilmu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
