'Pegawai NFCC' perdaya pesara hampir RM6 juta

SHAH ALAM – Seorang pesara syarikat swasta kerugian hampir RM6 juta selepas menjadi mangsa sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan polis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kes ‘phone scam’ itu di Subang Jaya.
“Lelaki berusia 73 tahun itu mendakwa kejadian bermula sekitar Mei lalu apabila dia menerima panggilan daripada individu yang mengaku sebagai pegawai NFCC Putrajaya.
“Mangsa didakwa terbabit dalam kegiatan penggubahan wang haram. Panggilan tersebut kemudiannya disambungkan kepada seorang lagi individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai kanan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Shazeli berkata, suspek mendakwa mangsa perlu mengisytiharkan semua harta dan simpanan yang dimilikinya sebelum diarahkan membuka empat akaun bank di institusi kewangan berbeza.
“Selepas itu, mangsa diarahkan memindahkan semua wang simpanannya ke dalam akaun-akaun tersebut dan menyerahkan kesemua kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya dengan meletakkannya di dalam sampul surat di sebuah padang permainan di USJ 22/1,” katanya.
Tambahnya, mangsa turut diminta memberikan maklumat perbankan kepada suspek sebelum mula berasa curiga dan memaklumkan perkara itu kepada anaknya.
“Selepas dimaklumkan bahawa ia adalah satu penipuan, mangsa tampil membuat laporan polis.
“Akibat diperdaya, mangsa mengalami kerugian keseluruhan sebanyak RM5,996,586.51,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai agar berwaspada terhadap panggilan atau mesej daripada individu yang menyamar sebagai penjawat awam atau pihak berkuasa.
“Pihak berkuasa tidak pernah menjalankan urusan rasmi melalui panggilan telefon. Sebarang transaksi hanya dilakukan secara fizikal di balai polis atau pejabat kerajaan.
“Orang ramai juga diingatkan agar tidak mendedahkan maklumat peribadi, tidak memindahkan wang kepada pihak tidak dikenali serta membuat semakan dengan menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi pengesahan dan nasihat lanjut,” katanya.
Ringkasan AI
- Pesara syarikat swasta kerugian hampir RM6 juta akibat sindiket penipuan menyamar sebagai pegawai NFCC dan polis
- Kejadian bermula dengan panggilan dari individu yang mengaku pegawai NFCC Putrajaya pada Mei lalu
- Mangsa diarahkan membuka empat akaun bank dan memindahkan semua wang simpanannya ke akaun tersebut
- Mangsa menyerahkan kad ATM dengan meletakkannya dalam sampul surat di padang permainan
- Orang ramai dinasihatkan agar lebih waspada dengan panggilan yang mendakwa daripada penjawat awam atau pihak berkuasa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
