Perkeso semak rekod korban Covid-19

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Sumber Manusia melalui agensinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedang menyemak semua rekod korban koronavirus (Covid-19) untuk mengesan mereka yang layak menerima faedah agensi itu.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, ia bagi membolehkan faedah disampaikan dengan segera kepada mangsa yang layak agar kebajikan keluarga dan tanggungan mereka terbela berikutan musibah ini.

Katanya, setakat ini semakan mendapati korban ketiga dan ketujuh wabak berkenaan layak menerima Faedah Pengurusan Mayat dan bayaran bulanan Pencen Penakat di bawah Skim Keilatan Perkeso.

“Korban ketiga berusia 58 tahun merupakan bekas pekerja Sabah Port Sdn Bhd dan telah dikebumikan di Tawau kira-kira 10 malam, Jumaat lepas manakala mangsa ketujuh yang berusia 57 tahun pula meninggal dunia Sabtu lepas, di Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, katanya kementerian dimaklumkan bahawa semua ahli keluarga mangsa ketiga sedang dalam kuarantin, sementara keluarga mangsa ketujuh masih belum bersedia untuk berkongsi maklumat lanjut.

Saravanan berkata, maklumat awal yang diperoleh pertubuhan itu mendapati mangsa ketujuh meninggalkan seorang isteri dan semua anak-anak berusia lebih 21 tahun.

“Penyampaian faedah akan hanya dilakukan selepas tamat tempoh kuarantin dan juga setelah ahli keluarga bersedia,” katanya.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa Covid-19 yang kini telah mengorbankan sebanyak 11 orang setakat ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: