Terganggu bunyi ayam berkokok, lelaki bunuh jiran

MEDAN – Hanya kerana terganggu dengan bunyi ayam berkokok, seorang lelaki di Medan Tuntungan, Indonesia bertindak di luar kawalan apabila menikam dua orang jirannya yang juga pasangan bapa dan anak.
Suspek dikenali sebagai Daniel Tampubolon, 35, ditahan polis selepas kejadian di Jalan Jamin Ginting, Kelurahan Sidomulyo, pada Ahad lalu.
Difahamkan, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang, dada dan tangan akibat tikaman pisau yang digunakan suspek.
Menurut laporan Tribun Medan, Daniel memberitahu dia sudah lama berasa terganggu dengan ayam milik jirannya yang diletakkan di belakang rumahnya.
“Bunyi ayam itu tidak tentu masa. Bila saya periksa, rupanya cuma seekor saja. Tapi saya rasa seperti mereka sengaja nak buat saya tak selesa tinggal di situ,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Medan Tuntungan dengan berpakaian tahanan.
Daniel mendakwa dia hanya ingin berbincang dengan pemilik ayam terbabit, namun gagal mengawal emosi lalu bertindak menikam mangsa.
“Saya bawa pisau kecil hanya untuk bercakap tentang ayam itu, bukan nak menikam atau membunuh,” ujarnya.
Saksi kejadian memberitahu, selepas insiden itu, Daniel sempat meminjam lampu suluh daripada jiran lain kononya untuk mencari suspek yang melarikan diri.
Seorang penduduk tempatan berkata, dia membantu mencari suspek tanpa mengetahui Daniel merupakan pelaku sebenar.
Penduduk turut mendedahkan Daniel bekerja dari rumah sebagai pembaiki peralatan elektronik dan jarang bergaul dengan orang sekeliling.
Sementara itu, Polis Medan Tuntungan memaklumkan pihaknya sudah menahan suspek serta merampas beberapa barangan miliknya termasuk kunci rumah, motosikal dan telefon bimbit bagi membantu siasatan. - Agensi
Ringkasan AI
- Seorang lelaki di Medan Tuntungan, Indonesia menikam dua jirannya kerana terganggu bunyi ayam berkokok
- Suspek bernama Daniel Tampubolon, 35 tahun, telah ditahan polis
- Mangsa mengalami kecederaan di bahagian belakang, dada dan tangan
- Daniel mengaku terganggu oleh ayam jiran yang diletakkan dekat rumahnya
- Polis Medan Tuntungan menahan suspek dan merampas beberapa barang bukti termasuk kunci rumah dan telefon bimbit
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

