KPDN bongkar sindiket seleweng minyak masak bersubsidi

Pegawai KPDN melakukan pemeriksaan di lokasi serbuan.
Pegawai KPDN melakukan pemeriksaan di lokasi serbuan.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Pulau Pinang berjaya membongkar kegiatan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi yang beroperasi di sebuah stor di sini, dengan modus operandi memindahkan minyak masak bersubsidi dalam bungkusan paket 1 kilogram (kg) ke dalam tong industri 17kg.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, RS Jegan berkata, aktiviti itu terbongkar hasil serbuan dalam satu operasi bersama Pasukan Polis Cawangan Risik Batalion 2, Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim pada Selasa kira-kira jam 3.30 petang.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati sindiket berkenaan menggunakan modus operandi dengan memotong bungkusan polybag 1kg minyak masak sebelum dipindahkan ke dalam tong industri menggunakan peralatan khas yang ditemui di lokasi.

“Tindakan ini dipercayai bertujuan mengubah bentuk asal barang kawalan tersebut bagi tujuan penjualan semula secara tidak sah atau penyimpanan tanpa kebenaran.

“Pemeriksaan lanjut menemui sebanyak 4,760 kilogram minyak masak dalam paket 1kg, 510 tong kosong berkapasiti 17kg, dan lima tong kosong berkapasiti 200 liter yang dipercayai digunakan untuk menyimpan minyak yang telah dipindahkan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Turut dirampas ialah peralatan pemindahan seperti dua pam besi, satu pam plastik, dua corong plastik dan dua gunting yang dipercayai digunakan untuk memotong bungkusan plastik minyak masak.

Pasukan serbuan juga menemui 510 kotak kosong serta sebuah lori yang dipercayai digunakan untuk tujuan pengangkutan barang kawalan tersebut.

Kesemua barangan disita untuk siasatan lanjut, dengan nilai anggaran rampasan berjumlah RM37,450.

Menurut Jegan, hasil siasatan awal mendapati stor berkenaan telah beroperasi selama tiga bulan tanpa sebarang lesen atau permit sah untuk memiliki dan mengurus barang kawalan berjadual seperti yang diwajibkan oleh undang-undang.

Artikel Berkaitan:

“Dua lelaki warganegara tempatan yang berada di lokasi turut ditahan bagi membantu siasatan lanjut,” tambah beliau.

Berikutan itu, KPDN membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122], iaitu memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.

Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000,000, dan bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, sabitan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM2,000,000, dan bagi kesalahan berikutnya, denda sehingga RM5,000,000.

Ringkasan AI

  • Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Pulau Pinang membongkar kegiatan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi
  • Sindiket memindahkan minyak masak paket 1 Kg ke dalam tong 17 Kg untuk tujuan penjualan semula secara tidak sah
  • Pemeriksaan menemui 4,760 kilogram minyak masak, 510 tong kosong, peralatan pemindahan dan sebuah lori
  • Pemilik stor tidak memiliki dokumen lesen ataupun permit sah untuk mengurus barang kawalan
  • Dua lelaki warganegara tempatan ditahan dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!