Nahas langgar tiang elektrik: Empat beranak masih dirawat di hospital

Mohd Iqbal
Mohd Iqbal
A
A
A

SHAH ALAM – Empat beranak terbabit dalam kemalangan Proton Saga FLX yang dipercayai terbabas melanggar tiang elektrik di Jalan Persiaran Tengku Ampuan, Seksyen 22 di sini pada Isnin, masih dirawat di hospital.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, seorang wanita berusia 38 tahun berada dalam keadaan koma dan menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Shah Alam selepas menjalani pembedahan limpa.

"Anak perempuannya berusia tujuh tahun turut dirawat di wad hospital sama selepas mengalami kecederaan patah tulang kaki kanan dan akan menjalani pembedahan pada Rabu," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Iqbal berkata, seorang lagi anak perempuannya berusia empat tahun mengalami kecederaan patah tulang paha dan kini berada di wad hospital sama.

"Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan pula dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang selepas mengalami kecederaan pada bahagian kepala dengan tengkorak retak serta masih memerlukan alat bantuan pernafasan," katanya.

Pada Isnin, media melaporkan seorang lelaki maut manakala empat yang lain, termasuk seorang bayi perempuan, parah selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar tiang elektrik.

Siasatan mendapati kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 39 tahun bersama isteri dan tiga anaknya dalam perjalanan dari Shah Alam menuju ke rumah mereka di Klang.

Mohd Iqbal dilaporkan berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta terbabit dipercayai terbabas dan melanggar tembok pembahagi jalan sebelah kanan.

Mangsa, pemandu kenderaan, disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Muhammad Najib Abdul Rahman di talian 019-7757354.

Ringkasan AI

  • Empat beranak terbabit dalam kemalangan Proton Saga FLX di Shah Alam
  • Seorang wanita berusia 38 tahun dalam koma dan dirawat di ICU selepas pembedahan limpa
  • Anak perempuannya berusia tujuh tahun mengalami patah tulang kaki dan akan menjalani pembedahan
  • Seorang lagi anak perempuannya berusia empat tahun mengalami patah tulang paha
  • Bayi perempuan lapan bulan dirawat di HTAR selepas mengalami kepala retak dan perlukan bantuan pernafasan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!