Mintah mahu cipta impak bersama Harimau Malaya

Mintah (kanan) dipanggil memperkuat skuad Harimau Malaya untuk aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos. Foto: Sabah FC
Mintah (kanan) dipanggil memperkuat skuad Harimau Malaya untuk aksi Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos. Foto: Sabah FC
A
A
A

PENYERANG naturalisasi baharu Harimau Malaya, Jordan Mintah bertekad mahu memberikan yang terbaik bagi mengharumkan nama negara apabila pertama kali dipanggil menyertai skuad kebangsaan Harimau Malaya.

Mintah yang kini beraksi bersama Kuching City FC, menyifatkan panggilan itu sebagai satu penghormatan besar dan berjanji untuk membalas kepercayaan barisan kejurulatihan dengan aksi penuh komitmen dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos.

“Saya akan cuba buktikan kualiti di skuad kebangsaan. Apa yang penting, kami perlu bekerja keras bersama-sama untuk membawa negara ke hadapan.

"Kami berjuang untuk Malaysia, jadi kami perlu berikan seratus peratus dan membuatkan negara bangga,” katanya.

Untuk rekod, pemain berusia 30 tahun tersebut sah menjadi rakyat Malaysia selepas proses naturalisasinya selesai pada Ogos lalu.

Mintah merupakan pemain naturalisasi Malaysia yang kesembilan selepas Mohamadou Sumareh, Liridon Krasniqi, Guilherme de Paula, Sergio Aguero, Lee Tuck, Romel Morales, Paulo Josue dan Endrick dos Santos.

Kehadirannya dijangka menambah bisa di jentera serangan Harimau Malaya selepas kehilangan beberapa pemain warisan yang tidak dapat beraksi kerana digantung susulan hukuman Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Tujuh pemain warisan tersebut ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.

Skuad kendalian Peter Cklamovski bakal berdepan Laos dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027 dengan perlawanan pertama dijadual berlangsung di Vientiane pada Khamis ini sebelum aksi timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 14 Oktober.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Jordan Mintah, pemain naturalisasi baru Harimau Malaya, bertekad memberikan yang terbaik untuk Malaysia
  • Pemain tersebut berjanji membalas kepercayaan dengan komitmen tinggi dalam perlawanan menentang Laos
  • Mintah menyatakan kepentingan kerja keras bersama-sama untuk mengharumkan nama negara
  • Pemain berusia 30 tahun itu sah menjadi rakyat Malaysia selepas proses naturalisasinya selesai pada Ogos lalu
  • Kehadiran Mintah diharap dapat menambah kekuatan kepada skuad Harimau Malaya yang kehilangan beberapa pemain akibat hukuman FIFA

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!