Zainal Abidin dilantik KSU KPKT

Zainal Abidin Abu Hassan
Zainal Abidin Abu Hassan
A
A
A

PUTRAJAYA - Datuk Zainal Abidin Abu Hassan dilantik sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), berkuatkuasa hari ini.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali berkata, Zainal Abidin yang kini berusia 58 tahun berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pembangunan Manusia dari Universiti Putra Malaysia dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Awam dari Universiti New Haven, Connecticut, Amerika Syarikat.

"Beliau telah berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 32 tahun dengan jawatan pertama yang disandang sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 12 Januari 1988," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Zainal Abidin berpengalaman luas dalam pelbagai bidang termasuk kewangan, penyelidikan dan penguatkuasaan serta pernah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan), Kementerian Dalam Negeri.

Selain itu, beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan), Jabatan Perdana Menteri.

Dengan pengalaman dan kredibiliti yang dimiliki oleh Zainal Abidin, Mohd Zuki yakin beliau mampu membawa KPKT dalam mentransformasikan persekitaran bandar yang lebih kondusif demi meningkatkan kualiti hidup serta kesejahteraan rakyat.

Artikel Berkaitan: