Empat agenda transformasi YPM, Johor jadi peneraju - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid.
Ahmad Zahid.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Kerajaan menyarankan empat langkah reformasi bagi memastikan Yayasan Pelajaran MARA (YPM) terus relevan dan memberi impak besar kepada pembangunan pendidikan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah pertama ialah memperkasa bilangan anggota Skuad YPM melebihi 20,000 orang di seluruh negara dengan Johor menjadi antara peneraju utama.

“Langkah kedua, memberi tumpuan kepada bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) melalui kerjasama rapat dengan institusi di bawah MARA seperti GIATMARA, Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), Institut Kemahiran MARA (IKM) dan Universiti Kuala Lumpur.

“Ketiga, memperluas bantuan secara bersasar kepada anak muda luar bandar dan pedalaman dengan memanfaatkan data serta kerjasama akar umbi agar bantuan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.

“Keempat, meningkatkan sokongan kepada Sekretariat dan Sahabat YPM di peringkat negeri dan Parlimen supaya mereka lebih proaktif melaksanakan aktiviti yang tersusun dan berimpak,” katanya.

Ahmad Zahid (tengah) pada Majlis Pelancaran Yayasan Pelajaran MARA (YPM) peringkat Negeri Johor di Arena Larkin.
Ahmad Zahid (tengah) pada Majlis Pelancaran Yayasan Pelajaran MARA (YPM) peringkat Negeri Johor di Arena Larkin.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Yayasan Pelajaran MARA (YPM) Peringkat Negeri Johor di Arena Larkin, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Zahid menegaskan, reformasi YPM bukan sekadar pelan atas kertas, sebaliknya tekad besar untuk membina generasi belia berjiwa besar, berilmu tinggi dan berakhlak mulia.

“Jika langkah ini dijayakan bersama, saya yakin YPM akan terus menjadi wadah membentuk anak muda Malaysia sebagai pemimpin masa depan yang berani, berdaya tahan serta mampu membawa bangsa dan negara melangkah gagah di pentas dunia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Onn Hafiz atas peruntukan RM2 juta bagi program pendidikan Skuad YPM tahun ini.

“Saya menyeru Skuad YPM menjadi ejen perpaduan, menolak politik kebencian dan menyebarkan peluang pendidikan yang ditawarkan MARA serta YPM.

“Jadilah ejen kebaikan yang mampu mengubah rakan sebaya menjadi insan berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara. Anda semua bukan hanya sukarelawan, tetapi simbol semangat anak muda Malaysia,” katanya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan menyarankan empat langkah reformasi untuk kelestarian Yayasan Pelajaran Mara
  • Memperkasa bilangan anggota Skuad YPM melebihi 20,000 orang dengan Johor sebagai peneraju
  • Menekankan pendidikan TVET melalui kerjasama dengan institusi di bawah MARA
  • Memperluas bantuan kepada anak muda luar bandar dan pedalaman
  • Meningkatkan sokongan kepada Sekretariat dan Sahabat YPM di peringkat negeri dan parlimen

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!