Penunggang maut, pembonceng parah rempuh pacuan empat roda

Motosikal ditunggang mangsa dipercayai gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang Mitsubishi Triton yang berhenti di lorong kecemasan. Foto IPD Kulai
Motosikal ditunggang mangsa dipercayai gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang Mitsubishi Triton yang berhenti di lorong kecemasan. Foto IPD Kulai
A
A
A

KULAI - Seorang lelaki maut manakala pembonceng wanita parah apabila motosikal yang ditunggang mereka merempuh bahagian belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 29 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan pada pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8 pagi apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun mengalami kerosakan enjin dan berhenti di lorong kecemasan.

“Ketika melalui kawasan tersebut, sebuah motosikal yang ditunggang oleh seorang lelaki tempatan bersama pembonceng wanita, masing-masing berusia 31 tahun, dipercayai gagal mengelak lalu merempuh bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda itu.

“Akibat pelanggaran tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pembonceng yang cedera parah telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Safuan Abu Naim di talian 017-7573507 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!