Mangsa tertimbus dipercayai pencari emas

Operasi mencari dan menyelamatkan mangsa tertimbus yang dihentikan semalam bersambung hari ini.
Operasi mencari dan menyelamatkan mangsa tertimbus yang dihentikan semalam bersambung hari ini.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Dua lelaki yang tertimbus akibat tanah runtuh di kaki Gunung Jerai petang semalam dipercayai sedang melakukan kegiatan mencari emas di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, dua mangsa dikenali sebagai Md Noor Shaari, 68, dan Roslan Saidin, 52, dikatakan mula menjalankan kegiatan mencari emas di kawasan berkenaan sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, bagaimanapun, mereka menghentikan kegiatan itu pada 19 Mac, namun datang kembali semalam bagi meneruskan usaha itu.

"Mereka percaya kawasan itu merupakan lubuk emas dan mula aktif mencari sejak 10 tahun lalu," katanya.

Kejadian disedari rakan mangsa yang datang ke lokasi bagi menghantar air setelah diminta, namun mendapati mereka tiada di situ.

"Apabila sampai, mangsa tiada, tetapi ada kesan runtuhan di sini," katanya.

Kenderaan yang dinaiki mangsa dilaporkan turut diletak berhampiran lokasi kejadian.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Sayani Saidon berkata, operasi yang dihentikan semalam disambung pagi ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat yang dihentikan pada jam 12 tengah malam tadi disebabkan faktor keselamatan selain struktur tanah tidak stabil.

"Operasi disambung pagi ini dengan menggunakan jentera pengorek di mana kerja-kerja membuka jalan dilakukan selain mengenal pasti lokasi mangsa tertimbus," katanya.

Difahamkan, anggota mengalami kesukaran kerana tanah runtuh dianggarkan lebih 12 meter dan lokasi mangsa tertimbus berada pada kedudukan antara 1.5 hingga 3 meter.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanah runtuh: Dua individu dikhuatiri tertimbus

Semalam, Sinar Harian melaporkan dua mangsa dipercayai tertimbus ketika menjalankan kerja-kerja penggalian di kaki Gunung Jerai.