Veteran ATM pilih bidang keusahawan - Adly

TEMERLOH - Dua bekas anggota tentera yang kini beralih arah menjadi pengusaha ikan sangkar di Kampung Pangsenam di sini menerima suntikan semangat apabila dibantu dengan sumbangan makanan dan 3,500 benih anak ikan patin.
Bantuan itu disampaikan sendiri oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari di sangkar tersebut sempena Program Peduli Veteran Madani (PVM) di daerah ini pada Selasa.
Bagi Norizan Johari,47, sumbangan itu sangat dihargai dan membantu dia dan rakannya, Mohd Zaid Kamarul Ismail, 40 setelah menamatkan perkhidmatan sebagai anggota tentera selama 21 tahun.
Menurutnya, dengan modal permulaan sebanyak RM9,000, dia sudah mula aktif dalam aktiviti ikan sangkar sejak 11 tahun sebelum mengusahakan sangkar itu di Kampung Pangsenam sejak 2017.
"Kini terdapat 24 sangkar terdiri pelbagai ikan seperti patin, tilapia, kerai serta patin buah.
"Pelbagai cabaran dihadapi namun itu tidak melemahkan semangat saya dan rakan untuk terus berjuang dalam bidang ini," katanya kali terakhir bertugas di Kem Batu 3, di sini di Unit Kor Jurutera Elektrik dan Jentera Diraja sebelum bersara pada 2022.
Rakannya, Mohd Zaid yang baru bersara pada Jun lepas dari kem sama turut menghargai pemberian dan keprihatinan Kementerian Pertahanan terhadap veteran sepertinya.
"Pada mulanya kerana ajakan kawan dan kini ia banyak membantu dalam meneruskan kelangsungan hidup selepas menamatkan perkhidmatan.
"Kami mahu buktikan bahawa bekas tentera juga mampu berjaya dalam bidang penternakan sekiranya diberi peluang serta sokongan,” tambahnya.
Sementara itu, Adli memberitahu, seramai 3,000 daripada 5,000 veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tamat perkhidmatan setiap tahun memilih bidang keusahawanan sebagai kerjaya kedua selepas bersara.
Menurutnya, jumlah tersebut menunjukkan minat yang tinggi terhadap bidang perniagaan.
"Bidang keusahawanan menjadi pilihan utama kerana ia memberi peluang luas kepada veteran untuk mengubah taraf hidup, selain membantu keluarga dan masyarakat sekeliling.
"Kerajaan sentiasa menyokong langkah ini dengan pelbagai program serta inisiatif,” katanya kepada pemberita.
Turut hadir, Penolong Pengarah Bahagian Dasar Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Muhaizam Mustapa Delmi dan Pengarah JHEV ATM Cawangan Pahang, Mejar Khairul Azhar Md Daud.
Dalam program itu, seramai 15 veteran ATM termasuk golongan asnaf, balu serta usahawan disantuni oleh Adly.
Antara bantuan yang disampaikan ialah makanan ikan dan benih anak ikan patin kepada veteran yang mengusahakan ternakan ikan sangkar, manakala dua set impact wrench bersama pengecas bateri diberikan kepada veteran lain yang mengendalikan bengkel kereta.
Selain itu, beliau turut menyampaikan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada veteran terpilih serta bantuan kesihatan, peralatan pesakit, bantuan sara hidup dan bakul rahmah.
Jelasnya, penganjuran PVM menjadi bukti komitmen Kementerian Pertahanan dan JHEV dalam memastikan kebajikan serta kesejahteraan bekas anggota tentera sentiasa terpelihara.
Ringkasan AI
- Dua bekas anggota tentera kini mengusahakan ikan sangkar di Kampung Pangsenam menerima sumbangan makanan dan benih ikan patin
- Bantuan diberikan oleh Timbalan Menteri Pertahanan sempena Program Peduli Veteran Madani di Temerloh
- Norizan Johari dan Mohd Zaid Kamarul Ismail berterima kasih atas sokongan kerana ia membantu mereka dalam usaha penternakan ikan
- Kerajaan menyokong usahawan veteran dengan pelbagai program dan inisiatif untuk membantu mereka berjaya dalam bidang keusahawanan
- Seramai 15 veteran termasuk golongan asnaf dan balu disantuni dalam program tersebut, menerima bantuan seperti makanan ikan dan peralatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

