Lebih 10 juta pekerja dilindungi PERKESO

KUALA LUMPUR – Lebih 10 juta pekerja di negara ini dilindungi di bawah skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sekali gus mencatat peningkatan 63 peratus dalam tempoh 10 tahun.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, sejuta lagi pekerja sendiri turut menikmati perlindungan kemalangan pekerjaan melalui skim yang diperkenalkan kerajaan.
Menurutnya, purata faedah yang dibayar kepada pencarum juga meningkat 12 peratus sejak sedekad lalu iaitu daripada RM5,200 pada 2015 kepada RM5,800 tahun ini, selain pindaan undang-undang yang diluluskan tahun lalu menambah 20 peratus lagi kadar manfaat.
“Walaupun kadar faedah meningkat, tuntutan kekal stabil sekitar lapan peratus berikutan langkah proaktif PERKESO termasuk kempen keselamatan pekerjaan serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam sistem tuntutan,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian World Social Security Forum (WSSF) 2025, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di ibu negara pada Isnin.

Forum lima hari itu menghimpunkan lebih 1,500 peserta dari 135 negara, termasuk menteri, ketua pegawai eksekutif, pakar teknikal serta wakil badan antarabangsa seperti Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Bank Dunia.
Sementara itu, Presiden International Social Security Association (ISSA), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed menegaskan World Social Security Forum (WSSF) 2025 di Kuala Lumpur bakal menjadi platform lahirnya ikrar baharu keselamatan sosial global.
Beliau berkata, forum itu dijangka mencetus komitmen untuk melindungi mereka yang masih tercicir, selain bersiap siaga menghadapi risiko tersembunyi serta segera bertindak dalam memperkukuh sistem perlindungan sosial.
“Kita akan berdebat, mempersoal dan mencabar, pada masa sama belajar daripada inovasi pihak lain serta berkongsi pengalaman sendiri. Paling penting, kita akan mencari titik persamaan kerana tugas di hadapan kita lebih besar daripada mana-mana institusi atau negara.
“Setiap hari kita berlengah, lebih ramai jatuh ke jurang perlindungan. Sejumlah besar daripada dua bilion penduduk dunia masih tidak dilindungi dan terus terdedah kepada kehilangan pendapatan serta kesihatan rapuh,” katanya.
Bertemakan Shaping Social Security for a World in Transition forum kali ini menonjolkan perbincangan mengenai cabaran global dalam membentuk sistem perlindungan sosial yang lebih inklusif, mampan dan sedia masa depan.
Ringkasan AI
- Lebih 10 juta pekerja di Malaysia dilindungi di bawah skim PERKESO
- Sejuta pekerja sendiri menikmati perlindungan kemalangan pekerjaan melalui skim kerajaan
- Purata faedah yang dibayar kepada pencarum meningkat dari RM5,200 pada 2015 kepada RM5,800 tahun ini
- Pindaan undang-undang baru menambah 20 peratus lagi kadar manfaat
- Forum World Social Security Forum 2025 di Kuala Lumpur adalah platform bagi perbincangan keselamatan sosial global
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

