Sejarah negara mesti berdasarkan fakta, bukan naratif penjajah - PM

MELAKA – Sejarah negara tidak seharusnya ditentukan atau ditulis mengikut perspektif penjajah Barat, sebaliknya perlu berpaksikan fakta sebenar berasaskan penyelidikan tempatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penulisan sejarah mesti menonjolkan warisan dan tamadun Malaysia yang kaya, selari dengan pandangan ahli sosiologi tersohor, Profesor Datuk Dr Syed Hussein Alatas yang sejak 1961 menekankan kepentingan berlaku jujur terhadap sejarah sendiri.

“Sejarah kita tidak boleh ditundukkan seperti yang ditulis penjajah mengenai hamba di negara ini. Kita memiliki tamadun hebat dan pernah menjadi rakan dagangan utama.
“Terlibat dengan Timur dan Barat, termasuk kerajaan China melalui Laksamana Cheng Ho serta mengenali Puteri Hang Li Po,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Peluncuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam di Encore, Klebang pada Sabtu malam.

Jelas Anwar, menjadi keperluan untuk membina semula naratif sejarah negara agar mencerminkan keagungan Kesultanan Melayu-Islam dan peranan Melaka sebagai pusat perdagangan serantau.
Beliau turut memuji pemilihan Melaka sebagai lokasi peluncuran VM2026 dan menyifatkannya unik dari segi sejarah, budaya dan seni.
“Malaysia negara berbilang kaum dan agama yang hebat, dengan Islam sebagai agama Persekutuan. Peluncuran ini bukti kebanggaan kita,” katanya lagi.
Dalam pada itu, tarian zapin yang disertai seramai 3,224 penari berjaya mencatat rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR).

Sambutan VM2026 turut diserikan dengan persembahan oleh Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Misha Omar serta nyanyian lagu ikonik negeri, Senandung Anak Melaka.
Ringkasan AI
- Sejarah Malaysia harus berdasarkan fakta sebenar bukan perspektif penjajah
- Perdana Menteri menekan pentingnya menulis sejarah yang menonjolkan warisan Malaysia
- Malaysia mempunyai tamadun hebat dan pernah menjadi rakan dagangan penting
- Peluncuran Tahun Melawat Malaysia 2026 diadakan di Melaka, menekankan keunikan sejarah, budaya, dan seni
- Tarian zapin mencatat rekod baharu dalam Malaysia Book of Records semasa peluncuran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

