Usaha banteras rasuah perlu dilakukan secara holistik

SHAH ALAM -Usaha membanteras rasuah perlu dilakukan secara holistik dengan melibatkan pelbagai peringkat masyarakat dan institusi.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, bagi jangka pendek, langkah-langkah seperti semak dan imbang melalui strategi sedia ada serta penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) secara berterusan perlu diperkukuhkan.
Menurutnya, jangka masa panjang pula perlu melibatkan pembinaan budaya bebas rasuah dalam kalangan masyarakat khususnya generasi muda.
"Ia harus diperkasakan menerusi kempen berterusan dan pendidikan anti-rasuah bermula dari peringkat sekolah hingga ke institusi pengajian tinggi.
"Usaha ini penting untuk mewujudkan satu fenomena nasional di mana rakyat membenci dan menolak sebarang bentuk rasuah secara keseluruhan.
"Ini kerana, rasuah bukan sahaja menggugat integriti pentadbiran, malah memberi kesan buruk terhadap kesejahteraan rakyat dari segi ekonomi dan sosial," katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah laku rasuah tanpa mengira sesiapa.
Anwar berkata, setiap dakwaan perlu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan beliau tidak akan campur tangan.
Tambah Hamdan Daniel, penegasan Perdana Menteri ke-10 (PMX) itu dalam menangani isu rasuah amat signifikan dalam mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran negara.
"Sejak pentadbiran PMX, negara telah menyaksikan pelbagai kes berprofil tinggi dibawa ke muka pengadilan, menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan tiada sesiapa yang terkecuali daripada tindakan undang-undang.
"Menerusi semangat yang jelas, tindakan proaktif dan usaha berterusan, kadar rasuah dalam negara diyakini dapat dikurangkan secara berperingkat.
"Langkah ini bukan sahaja akan memulihkan keyakinan rakyat malah memberi jaminan terhadap masa depan negara yang lebih telus, adil dan sejahtera," jelasnya.
Ringkasan AI
- Usaha membanteras rasuah perlu dilakukan secara holistik dengan melibatkan masyarakat dan institusi
- Langkah jangka pendek melibatkan peningkatan semak dan imbang serta penambahbaikan SOP
- Pembinaan budaya bebas rasuah perlu bagi jangka masa panjang terutama dalam kalangan generasi muda
- Perdana Menteri menegaskan tidak akan berkompromi dengan salah laku rasuah
- Pelbagai kes berprofil tinggi sudah dibawa ke muka pengadilan menunjukkan kesungguhan kerajaan membanteras rasuah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

