Pura-pura pengsan raih simpati

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang wanita warga asing yang berpura-pura pengsan merupakan antara taktik digunakan untuk meraih simpati dalam operasi bersepadu KL Strike Force Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di sekitar Jalan Sultan Azlan Shah, ibu kota pada Jumaat.
Wanita berusia lingkungan 50-an itu ditahan selepas pemeriksaan mendapati pasport miliknya telah tamat tempoh.
Ketika ditahan, wanita terbabit bertindak meraung sebelum berpura-pura pengsan bagi menarik perhatian pegawai imigresen bertugas.
Bagaimanapun, dia tiba-tiba bangun sebaik sahaja pegawai imigresen memberikan rawatan kecemasan kepadanya.

Selain itu, seorang lelaki warga asing yang merakam video turut menerima padah apabila pemeriksaan mendapati dia tidak memiliki pasport yang sah.
Lelaki itu mendakwa sengaja merakam operasi berkenaan untuk simpanan peribadi, namun siasatan menunjukkan video itu dihantar kepada beberapa nombor dipercayai sebagai makluman mengenai serbuan yang dijalankan.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, operasi yang bermula jam 9.30 malam itu melibatkan kawasan sepanjang hampir satu kilometer di Jalan Sultan Azlan Shah.

“Risikan mendapati kawasan ini dikenali sebagai ‘Little Pakistan’ yang menjadi tumpuan warga asing khususnya dari Asia Selatan yang bekerja serta menyewa premis di kawasan ini.
“Operasi menerusi KL Strike Force ini turut melibatkan kerjasama JIM Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan serta dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya dalam sidang akhbar di lokasi operasi.
Beliau berkata, sebanyak 45 premis diperiksa merangkumi kedai runcit, restoran, kedai serbaneka dan pelbagai premis perniagaan lain.

“Seramai 400 individu diperiksa terdiri daripada warga Indonesia, Pakistan, Bangladesh, India, Jordan, Nepal, Filipina, Sri Lanka serta warga tempatan.
“Daripada jumlah itu, 199 ditahan iaitu 196 warga asing dan tiga warga tempatan yang disyaki majikan dipercayai menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) di restoran serta kedai makan,” katanya.
Menurutnya, semua individu ditahan dibawa ke pejabat JIM Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut.
“Antara kesalahan dikesan ialah di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1963, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 56(1)(d) dan Seksyen 55B Akta Imigresen.
“Selain itu, tindakan turut diambil di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 oleh DBKL; Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972 oleh KPDN; dan Seksyen 30(1) Akta Syarikat 2016 serta Seksyen 17A(2) Kaedah-Kaedah Pendaftaran Perniagaan 2019 oleh SSM,” katanya.
Ringkasan AI
- Wanita warga asing berpura-pura pengsan untuk meraih simpati setelah pasportnya didapati telah tamat tempoh ketika operasi imigresen
- Lelaki warga asing yang mengambil video operasi tanpa pasport sah disyaki menghantar maklumat serbuan
- Operasi bersepadu KL Strike Force melibatkan kerjasama antara beberapa agensi termasuk JIM, PDRM, DBKL, SSM, dan KPDN
- Kawasan operasi dikenali sebagai 'Little Pakistan' dan menjadi tumpuan warga asing Asia Selatan
- Seramai 199 individu ditahan dalam operasi, melibatkan pemeriksaan 45 premis termasuk restoran dan kedai runcit
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

