Dakwaan rasuah RM1.6 juta: Lima jam setengah Jeffrey Kitingan beri keterangan

KOTA KINABALU - Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kota Kinabalu selama lima jam setengah pada Khamis.
Setiausaha Politiknya, Anuar Ghani berkata, Jeffrey yang juga Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah hadir ke pejabat SPRM bermula jam 5.30 petang dan selesai pada 11 malam.
“Beliau memberikan kerjasama penuh kepada pihak penyiasat dan telah melengkapkan keterangannya.
“Kami menasihatkan agar siasatan ini dibiarkan berjalan tanpa sebarang gangguan serta menunggu hasilnya. Orang ramai dan ahli parti juga digesa supaya tidak membuat spekulasi serta menghormati prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Anuar yang juga Ketua Penerangan STAR turut menegaskan, adalah penting untuk rakyat tidak mengalihkan tumpuan daripada isu-isu besar yang sedang dihadapi Sabah.
“Antaranya tuntutan hak negeri berhubung 40 peratus hasil, hak wilayah berkaitan minyak dan gas, mitigasi banjir, perubahan iklim, keselamatan makanan serta pelbagai isu sosial yang mendesak,” katanya.
Beliau menambah, keadaan semasa dikhuatiri boleh dimanipulasi untuk mempengaruhi persepsi awam secara negatif sehingga menjejaskan reputasi dan kredibiliti pemimpin Sabah, khususnya mereka yang konsisten menentang dominasi dari Semenanjung.
“Taktik sebegini berisiko melemahkan keyakinan rakyat Sabah terhadap kepimpinan tempatan. Sekiranya imej dan kewibawaan kepimpinan negeri ini tercalar, wujud bahaya rakyat Sabah mungkin berpaling kepada kepimpinan luar yang kononnya lebih ‘bersih dan baik’, sekali gus membuka ruang kepada parti-parti Semenanjung memperluas pengaruh dan menguasai urusan Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa pada akhirnya keputusan tentang siapa yang akan mentadbir Sabah terletak sepenuhnya di tangan rakyat negeri ini.
“Hanya rakyat Sabah yang berhak menentukan kepimpinan masa depan mereka. Pilihan itu adalah milik mereka sepenuhnya. Biarlah peti undi yang menentukannya,” katanya.
Sebelum itu, tular satu video di sebuah portal yang mendakwa Jeffrey menerima wang RM1.6 juta berkaitan lesen penerokaan perlombongan di negeri ini.
Ringkasan AI
- Presiden Parti Solidariti Tanah Airku, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, memberi keterangan kepada SPRM di Kota Kinabalu selama lima jam setengah
- Jeffrey merupakan Timbalan Ketua Menteri serta Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah
- Beliau memberikan kerjasama penuh kepada penyiasat SPRM
- Anuar Ghani menegaskan pentingnya rakyat tidak mengalihkan tumpuan dari isu besar dihadapi Sabah termasuk tuntutan hak negeri
- Tular video mendakwa Jeffrey menerima wang RM1.6 juta berkaitan lesen penerokaan perlombongan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
