Kinoshi tabik ketahanan mental luar biasa Red Giants

PENGENDALI Selangor FC, Katsuhito Kinoshi meluahkan rasa bangga terhadap barisan pemainnya yang tetap mempamerkan semangat juang tinggi meskipun berdepan kepenatan akibat jadual padat merangkumi tiga kejohanan besar Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2), Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) dan Liga Malaysia (Liga-M).
Lebih manis, skuad kendalian kapten lincah Faisal Halim itu berjaya bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut semua pertandingan sebelum ini untuk menundukkan Tampines Rovers 4-2 dalam aksi Kumpulan A ACC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Menurut Kinoshi, kemenangan itu membuktikan Red Giants memiliki mentaliti kuat biarpun majoriti pemain masih bergelut untuk pulih daripada keletihan.
“Kesemua pemain sangat letih dan bergelut untuk kembali pulih. Kami perlu mencari jalan agar berada dalam keadaan terbaik.
“Tampines Rovers juga pasukan yang bagus dan ini perlawanan antarabangsa, jadi kami tidak boleh mudah mengalah untuk meraih keputusan positif,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Tambah jurulatih dari Jepun itu, kejayaan meraih tiga mata ke atas wakil Singapura berkenaan amat bermakna selepas Selangor tewas 2-4 kepada Bangkok United (ACL2) dan 0-1 Kuching City (Liga Super) dalam perlawanan terdahulu.
“Sejujurnya, tiga mata ini amat besar maknanya untuk pasukan dan saya sangat bangga dengan pemain saya.
“Pasukan ini menunjukkan mentaliti yang kuat dan kami juga bermain untuk penyokong yang tidak pernah berhenti memberikan sokongan serta dorongan.,” katanya.
Ringkasan AI
- Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi, bangga dengan barisan pemainnya yang mempamerkan semangat juang tinggi walaupun berdepan kepenatan
- Skuad di bawah kapten Faisal Halim berjaya bangkit daripada dua kekalahan berturut-turut untuk menundukkan Tampines Rovers 4-2
- Kemenangan menentang Tampines Rovers membuktikan mentaliti kuat pemain Selangor FC
- Kemenangan ini bermakna besar bagi Selangor FC selepas kekalahan sebelumnya kepada Bangkok United dan Kuching City
- Kinoshi mengakui keletihan pemain namun menekankan pentingnya kekuatan mental dan sokongan penyokong
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
