Bangkok cemas, tanah mendap besar jejas hospital dan trafik

BANGKOK – Kejadian tanah mendap besar berlaku di Jalan Samsen, Bangkok pada Rabu pagi mencetuskan panik apabila lubang sedalam kira-kira 50 meter terbentuk di hadapan Hospital Vajira.
Insiden berlaku sekitar jam 7.13 pagi waktu tempatan, dengan kawasan mendap dianggarkan berukuran 30 meter lebar dan 30 meter panjang.
Walaupun tiada kemalangan jiwa dilaporkan, kesannya amat besar sehingga perkhidmatan pesakit luar hospital terpaksa digantung.
Seramai lebih 3,500 pesakit turut dipindahkan dari bangunan berhampiran sebagai langkah berjaga-jaga.
Laporan awal bagaimanapun mengesahkan struktur utama hospital tidak mengalami kerosakan.
Dua tiang elektrik serta sebuah kenderaan polis dilaporkan terperangkap di dalam lubang tersebut.
Pihak Metropolitan Electricity Authority (MEA) segera dikerahkan ke lokasi untuk mengawal situasi.
Selain pesakit, penduduk di beberapa pangsapuri berhampiran turut diarahkan keluar demi keselamatan.
Laluan trafik antara simpang Vajira dan Sanghi ditutup sepenuhnya.
Bangkok Post melaporkan kawasan itu sebelum ini ditutup kerana kerja pembinaan MRT Laluan Ungu (sambungan Tao Poon–Rat Burana). Namun, pihak berkuasa masih menyiasat punca sebenar kejadian.
Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt bersama pasukan penyelamat turun padang bagi menilai kerosakan dan langkah pemulihan segera. - Agensi
Ringkasan AI
- Kejadian tanah mendap besar berlaku di Jalan Samsen, Bangkok menyebabkan lubang sedalam 50 meter terbentuk
- Insiden ini menjejaskan perkhidmatan pesakit luar Hospital Vajira dan mengakibatkan lebih 3,500 pesakit dipindahkan
- Tiada kemalangan jiwa dilaporkan tetapi struktur utama hospital tidak terjejas
- Dua tiang elektrik dan sebuah kenderaan polis terperangkap di dalam lubang
- Laluan trafik di kawasan itu ditutup dan penduduk tempatan diarahkan mengosongkan kawasan sebagai langkah keselamatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

