Siasatan aset Tun M di UK, Switzerland masih berjalan - Azam Baki

CYBERJAYA - Siasatan membabitkan aset milik bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad masih berjalan dengan kerjasama pihak berkuasa luar negara termasuk United Kingdom (UK) dan Switzerland.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya masih berkolaborasi dengan agensi penguatkuasaan antarabangsa bagi mengesan serta mendapatkan maklumat terperinci.
Menurutnya, SPRM masih bekerjasama dengan pihak berkuasa di UK, antaranya International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC), yang sedang membantu dalam kes ini.
"Selain UK, pihaknya turut meneliti maklumat berkaitan aset Dr Mahathir di Switzerland. Ya, betul kita juga melihat kepada negara-negara lain seperti Switzerland. Jadi buat masa ini, dua negara itu (UK dan Switzerland).
“Setakat ini masih lagi belum ada perkembangan,” katanya pada Ulang Tahun ke-8 Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) di Universiti Multimedia (MMU) di sini pada Rabu.
Sebelum ini, pada April 2024, Azam dilaporkan berkata, bekas Perdana Menteri itu antara individu yang disiasat berhubung isu pengisytiharan harta.
Susulan penyiasatan itu, kedua-dua anak Dr Mahathir diberi notis untuk mengisytiharkan harta dalam tempoh yang ditetapkan di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009.
Pada 21 Januari lalu, laporan menyebut, berdasarkan pengisytiharan harta yang dikemukakan kepada SPRM, Tan Sri Mokhzani Mahathir memiliki aset bernilai kira-kira RM1 bilion, manakala Mirzan Mahathir sebanyak RM246.2 juta.
Sebelum ini, SPRM memeterai Perjanjian Bantuan Perundangan Bersama (MLA) melalui kerjasama dengan National Crime Agency (NCA), United Kingdom pada Disember tahun lalu, bagi membantu siasatan membabitkan Dr Mahathir, keluarga dan sekutunya.
Ringkasan AI
- Siasatan aset milik Tun Dr Mahathir Mohamad masih berjalan dengan kerjasama pihak berkuasa luar negara termasuk UK dan Switzerland
- SPRM berkolaborasi dengan agensi antarabangsa termasuk International Anti-Corruption Coordination Centre (IACCC) untuk mendapatkan maklumat terperinci
- Maklumat aset Dr Mahathir di Switzerland juga sedang diteliti
- Setakat ini belum ada perkembangan dalam siasatan
- Kedua-dua anak Dr Mahathir telah diberi notis untuk mengisytiharkan harta di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
