Pekerja lemas ditemukan terapung di Sungai Perak

IPOH - Seorang lelaki ditemukan lemas dalam keadaan terapung di Sungai Perak berhampiran sebuah kapal sedut pasir, kira-kira 800 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh di bengkel membaiki kapal di Batu 8, Jalan Maharajalela, Teluk Intan, kira-kira 88 kilometer dari sini, malam ini.
Mangsa, Neoh Jun Jie, 24, yang bekerja sebagai pengikat tayar di kapal kargo, dipercayai terjatuh ketika melakukan kerja pemasangan tayar di sisi kapal yang sedang dibaiki, kira-kira 10 meter dari tebing sungai.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada nelayan mengenai penemuan mayat mangsa pada jam 9.18 malam.
"Mangsa berjaya dibawa ke tebing tempat selamat pada jam 9.58 malam dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi dikawal pada jam 9.50 malam dan tamat sepenuhnya pada jam 10.40 malam," katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 4.20 petang semalam dan operasi mencari serta menyelamat (SAR) dimulakan pada jam 4.41 petang.
"Bagaimanapun, operasi SAR terpaksa ditangguhkan pada jam 7.15 malam semalam sebelum bersambung semula pada jam 8 pagi tadi. Antara langkah yang dilaksanakan termasuk selaman oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), penggunaan konsep LAST serta pencarian di permukaan air,” katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Seorang lelaki ditemukan lemas di Sungai Perak berhampiran kapal sedut pasir
- Mangsa berumur 24 tahun, bekerja sebagai pengikat tayar di kapal kargo
- Dipercayai terjatuh ketika memasang tayar di sisi kapal
- Operasi pencarian dan penyelamat dimulakan selepas mendapat maklumat daripada nelayan
- Operasi SAR ditangguhkan dan bersambung keesokan harinya, melibatkan selaman dan pencarian di permukaan air
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
