Kerajaan masih berpegang standard antarabangsa berkaitan rogol bawah umur

MELAKA - Kerajaan masih berpegang kepada standard antarabangsa berkaitan kes rogol terutama membabitkan golongan bawah umur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pandangan dikemukakan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berhubung perkara itu bersifat peribadi.
"Pada saya setakat ini kita pegang pada standard antarabangsa iaitu rogol statutori ialah rogol statutori. Saya rasa kita tak akan berganjak daripada perkara itu setakat ini,” katanya.
Azalina berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi Dialog Awam Tribunal Antibuli peringkat Melaka dan Negeri Sembilan di Auditorium Masjid Al-Azim di sini pada Isnin.
Semalam, Mohd Yusoff mencadangkan satu perbincangan diadakan mengenai isu kes rogol "suka sama suka” supaya tindakan diambil kepada kedua-dua pasangan terbabit dan bukan hanya terhadap pihak lelaki.
Azalina bagaimanapun berkata, sebarang cadangan berkaitan penambahbaikan undang-undang boleh dikemukakan kepada Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Jenayah (CLRC).
Dalam pada itu, Azalina memberi bayangan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) akan mengadakan sesi dialog awam dengan kanak-kanak bagi mendapatkan maklum balas golongan itu dalam merangka Akta Antibuli yang dijangka dibentangkan hujung tahun ini di Parlimen.
"Mungkin kita akan buat bersama-sama Pesuruhjaya Kanak-kanak… kita panggil kanak-kanak, biar kita bercakap dan tanya pendapat mereka sebab undang-undang ini melibatkan mereka.
"Mungkin mereka pun ada pandangan, cadangan atau kritikan sebab hari ini, anak-anak begitu bijak, peka terhadap media sosial dan sebagainya. Mungkin mereka akan memberi kita maklumat yang kita tidak sedar sebagai orang dewasa,” katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Kerajaan Malaysia masih berpegang kepada standard antarabangsa berkenaan kes rogol yang membabitkan golongan bawah umur
- Pandangan Ketua Polis Kelantan berhubung isu rogol "suka sama suka" adalah bersifat peribadi
- Azalina Othman Said menekankan Malaysia tidak akan berganjak dari pendirian mengenai rogol statutori
- Cadangan penambahbaikan undang-undang boleh dikemukakan kepada Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Jenayah
- Bahagian Hal Ehwal Undang-undang akan mengadakan sesi dialog awam dengan kanak-kanak bagi merangka Akta Antibuli
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
