KPDN gesa lebih banyak syarikat daftar SKPS

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menggesa lebih banyak syarikat segera mendaftar di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) bagi menikmati manfaat subsidi petrol RON95.
Dalam satu kenyataan di Facebook rasmi kementerian itu pada Isnin, KPDN memaklumkan bahawa sehingga 22 September 2025, jam 5 petang, sebanyak 2,304 syarikat melibatkan 6,415 kenderaan telah berdaftar di bawah sistem berkenaan.
Daripada jumlah itu, sektor pengangkutan darat awam merekodkan 89 syarikat dengan 99 kenderaan, manakala sektor pengangkutan darat barangan mencatatkan 248 syarikat melibatkan 659 kenderaan.
KPDN menjelaskan bahawa usaha pendaftaran ini penting bagi memastikan syarikat-syarikat layak mendapat akses subsidi RON95 secara telus dan teratur, di samping mengelakkan ketirisan.
“Pihak syarikat yang belum membuat pendaftaran dinasihatkan agar segera berbuat demikian bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan subsidi yang disediakan kerajaan,” jelas kenyataan itu.
Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan rasmi kementerian di: https://mysubsidi.kpdn.gov.my
Ringkasan AI
- KPDN menggesa syarikat mendaftar di bawah SKPS untuk manfaat subsidi petrol RON95
- Sebanyak 2,304 syarikat dengan 6,415 kenderaan telah berdaftar setakat 22 September 2025
- Sektor pengangkutan darat awam melibatkan 89 syarikat dengan 99 kenderaan
- Sektor pengangkutan darat barangan melibatkan 248 syarikat dengan 659 kenderaan
- Pendaftaran online boleh dilakukan di https://mysubsidi.kpdn.gov.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

