Dua anggota polis dipenjara, denda terima rasuah RM800

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 terhadap dua anggota polis selepas didapati bersalah menerima rasuah RM800 untuk tidak melakukan tangkapan dan melaporkan kesalahan khalwat, lima tahun lepas. Gambar hiasan
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 terhadap dua anggota polis selepas didapati bersalah menerima rasuah RM800 untuk tidak melakukan tangkapan dan melaporkan kesalahan khalwat, lima tahun lepas. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 terhadap dua anggota polis selepas didapati bersalah menerima rasuah RM800 untuk tidak melakukan tangkapan dan melaporkan kesalahan khalwat, lima tahun lepas.

Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Lans Koperal Nur Fikri Mohd Fadzilee, 28, dan Koperal Mohd Fazly Hambali, 39, selepas mendapati pembelaan mereka tidak munasabah dan tidak boleh dipercayai.

"Mahkamah juga mendapati kedua-dua tertuduh gagal untuk menjawab anggapan di bawah Seksyen 50(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 di bawah imbangan kebarangkalian,” katanya.

Rosli memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini dan mereka dipenjara dua bulan lagi, sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, mereka dengan niat bersama didakwa memperoleh wang tunai RM800 daripada seorang pegawai polis yang baru menamatkan latihan dan pasangannya yang disyaki berkhalwat dalam sebuah kenderaan antara jam 12 tengah malam dan 2.20 pagi 1 Oktober 2020 di sebuah hentian bas di Presint 8, Putrajaya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fadhly Mohd Zamry serta Pegawai Pendakwa Mohd Hanafi Firdhaus Abd Latif manakala Nur Fikri diwakili peguam Muhammad Afiq Audy Basharudin dan Mohd Fazly tidak diwakili peguam. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM2,000 terhadap dua anggota polis kerana menerima rasuah RM800
  • Lans Koperal Nur Fikri Mohd Fadzilee dan Koperal Mohd Fazly Hambali didapati bersalah atas kesalahan tidak melaporkan khalwat
  • Hakim Rosli Ahmad mendapati pembelaan kedua-dua anggota polis tidak munasabah dan tidak boleh dipercayai
  • Hukuman penjara bermula hari kejadian dan tambahan dua bulan penjara jika gagal membayar denda
  • Mereka dituduh memperoleh wang daripada seorang pegawai polis baru dan pasangannya di Putrajaya pada 1 Oktober 2020

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!