Kedai pengantin di Nilai 3 rentung

Sebuah kedai barang pengantin terbakar di Nilai 3
Sebuah kedai barang pengantin terbakar di Nilai 3
A
A
A

NILAI – Sebuah kedai barangan pengantin di Nilai 3 di sini musnah 70 peratus dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada Isnin.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 10.10 pagi itu.

Seorang pekerja wanita warga Myanmar berusia 25 tahun berkata, kejadian terbabit disedarinya selepas ternampak asap pada bahagian lampu yang kemudiannya terbakar.

“Saya terus beritahu seorang lagi pekerja untuk keluar menyelamatkan diri dan ketika itu baru 10 minit kami membuka kedai.

“Saya kemudian telefon majikan untuk memaklumkan kejadian,” katanya.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama Pasar Borong Rakyat Nilai 3 Blok B, Nor Hanis Abd Aziz, 34, pula bergegas turun dari tingkat atas pejabatnya selepas dimaklumkan berlaku kebakaran.

Anggota bomba ketika melakukan kerja-kerja pemadaman dalam kejadian kebakaran sebuah kedai barangan pengantin di Nilai 3 pada Isnin.
Anggota bomba ketika melakukan kerja-kerja pemadaman dalam kejadian kebakaran sebuah kedai barangan pengantin di Nilai 3 pada Isnin.

Ujarnya, sebelum itu dia terdengar bunyi kecoh di bahagian luar pejabatnya.

Artikel Berkaitan:

“Belum sempat saya tengok apa yang berlaku, seorang pekerja kedai langsir di tingkat bawah berlari ke atas dan menjerit ‘api!’.

“Saya pun tak fikir panjang, terus turun menyelamatkan diri kerana bimbang api  merebak,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Bakarya Mohd Salleh berkata, pihaknya yang menerima panggilan kecemasan bergegas ke lokasi dan tiba pada jam 10.33 pagi.

“Lima jentera dari Nilai dan Seremban 2, termasuk Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), bersama 20 pegawai dan anggota dikerahkan ke lokasi bagi operasi memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, api didapati sudah marak di bahagian tengah kedai dan dua pekerja yang berada di premis telah keluar menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi.

Menurutnya, pihaknya berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke blok bangunan lain dan api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 11.10 pagi.

Jelas beliau, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Ringkasan AI

  • Kedai barangan pengantin di Nilai 3 musnah 70 peratus akibat kebakaran pada Isnin
  • Tiada kemalangan jiwa dilaporkan
  • Pekerja wanita warga Myanmar menyedari kejadian itu apabila terlihat asap pada bahagian lampu
  • Balai Bomba dan Penyelamat Nilai bersama lima jentera dan 20 pegawai bergegas ke lokasi untuk operasi pemadaman
  • Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!