Wanita terperangkap 54 jam dalam perigi lama, dipatuk ular

QUANZHOU, CHINA – Seorang wanita berdepan detik cemas apabila terperangkap selama 54 jam dalam sebuah perigi lama sebelum berjaya diselamatkan, lapor Oriental Daily.
Wanita berusia 48 tahun dikenali sebagai Qin dipercayai terjatuh ke dalam perigi pada 13 September lalu ketika berjalan berhampiran kilang tempatnya bekerja.
Kawasan perigi itu ditutupi semak tebal, menyebabkan dia tidak menyedari kewujudannya.
Menurut laporan, Qin mengalami patah tulang rusuk pada kedua-dua belah badan akibat terjatuh, selain berdepan kesejukan melampau, kelaparan serta serangan nyamuk dan ular air.
Malah, dia turut digigit ular pada lengan, namun mujur gigitan itu bukan daripada spesies berbisa.
Keluarga hanya menyedari sesuatu tidak kena apabila Qin tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi sebelum mencarinya sekitar kawasan berhampiran, namun usaha tersebut tidak berhasil dan membuat laporan polis pada 14 September.
Polis kemudian meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan melancarkan operasi pencarian.

Pada 15 September sekitar jam 1.45 tengah hari, pasukan penyelamat akhirnya menemui Qin selepas terdengar jeritan lemah meminta tolong.
“Keadaan dalam perigi sangat bahaya, airnya keruh, amat dingin, dipenuhi nyamuk serta ular.
"Kami anggap peluang mangsa untuk bertahan sehingga ditemui benar-benar satu keajaiban,” kata pasukan penyelamat sebagaimana dipetik Oriental Daily.
Mangsa ditemui dalam keadaan lemah dengan tangan bengkak berpaut pada dinding licin perigi sambil cuba memastikan kepalanya tidak tenggelam dalam air sejuk. Bibirnya turut kelihatan kebiruan akibat kesejukan melampau.
Qin dilapor hampir berputus asa berkali-kali, namun tetap bertahan kerana memikirkan ibu bapanya yang sudah lanjut usia dan anak perempuannya yang baru memasuki universiti.
Selepas hampir sejam operasi menyelamat, Qin berjaya dibawa keluar dan dihantar ke hospital, pemeriksaan doktor mengesahkan dia mengalami patah tulang rusuk serta pneumothorax ringan, selain kesan gigitan ular dan nyamuk, tetapi tiada racun ditemui.
Keadaan Qin kini stabil dan dijangka dipantau beberapa hari sebelum dibenarkan keluar hospital.
Ringkasan AI
- Seorang wanita terperangkap dalam perigi selama 54 jam di Quanzhou, China
- Dia jatuh ke dalam perigi ketika berjalan berhampiran kilang tempatnya bekerja
- Mengalami patah tulang rusuk, kesejukan melampau, kelaparan, dan digigit ular namun tidak berbisa
- Keluarga dan polis mula mencari selepas tidak pulang ke rumah dan gagal dihubungi
- Diselamatkan oleh pasukan penyelamat selepas terdengar jeritan minta tolong, keadaannya kini stabil setelah dirawat di hospital
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
