X

Kindly register in order to view this article
!

Melaka umum enam lagi insentif khas

Deretan kedai dilihat tutup berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang dilaksanakan ketika tinjauan di Bandar Hilir. -Foto Bernama
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka mengumumkan enam lagi insentif khas kepada penerima bantuan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) susulan arahan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mencegah wabak Koronavirus (Covid-19) hari ini.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, insentif berjumlah RM3.5 juta merupakan kesinambungan daripada pengumuman lapan insentif khas yang diumumkan sebelum ini membabitkan peruntukan sebanyak RM6.53 juta.

Menurutnya, pada Mesyuarat Khas Bantuan Agihan Covid-19, kerajaan negeri memutuskan untuk menyalurkan bantuan makanan bulanan tambahan sebanyak RM100 kepada 8,640 penerima asnaf fakir, miskin dan mualaf yang membabitkan jumlah peruntukan kira-kira RM864,000.

Malah katanya, bantuan makanan kecemasan turut diagihkan agar mereka tidak mengalami terputus bekalan makanan khusus golongan berpendapatan rendah B40 dengan nilai minimum RM50 untuk golongan asnaf dan maksimum RM100 bagi bukan asnaf.

"Selain makanan seramai 289 sukarelawan pembersihan bagi asnaf fakir, miskin dan mualaf akan menerima bayaran setengah bulan gaji bagi 14 hari tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (tidak boleh bekerja) sebanyak RM260 (setengah bulan Mac).

"MAIM juga bersetuju menyalurkan bantuan RM5,000 bagi pembelian barangan makanan kering serta bekas meletak makanan kepada Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan (CReATE) yang menjadi Pusat Kuarantin Covid-19 di Alor Gajah," katanya di sini hari ini.

Sulaiman yang juga Pengerusi MAIM berkata, tidak ketinggalan menyalurkan Bantuan Pencegahan dan Rawatan Covid-19 untuk petugas barisan hadapan bagi pembelian kipas berdiri, cecair pembasmi kuman (hand sanitizer), vitamin C bagi petugas, bekalan makanan bermasak bagi petugas barisan hadapan di tiga hospital iaitu Hospital Melaka, Hospital Jasin dan Hospital Alor Gajah.

Menurutnya, MAIM turut memutuskan bantuan bekalan makanan bermasak bernilai RM2,000 bagi petugas barisan hadapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan tiga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) iaitu IPD Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah.

Dalam perkembangan lain, MAIM mengambil inisiatif untuk membuat pembayaran awal bagi Bantuan Makanan Bulanan April bermula semalam membabitkan seramai 3,841 bagi penerima di daerah Melaka Tengah, diikuti Alor Gajah (1,639) dan Jasin (1,898).

"Bantuan Bulanan Bank (BBB) bagi bulan Mac juga telah dikreditkan sejak 15 Mac lalu membabitkan BBB Jasin berjumlah RM228,000, diikuti BBB Melaka Tengah (RM390,670) dan BBB Alor Gajah (RM214,850).

"Manakala Bantuan Tunai Bulanan (BTB) bagi bulan Mac memberi manfaat kepada 653 orang fakir, miskin dan mualaf akan dikreditkan bermula 23 hingga 27 Mac ini membabitkan Melaka Tengah (RM54,380), Alor Gajah (RM7,650) dan Jasin (RM46,220)," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus