PM lawat Sabah, tinjau situasi bencana

KOTA KINABALU - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual melawat Sabah hari ini bagi meninjau situasi bencana dan menyantuni rakyat yang terjejas akibat tanah runtuh serta banjir di beberapa lokasi di daerah Penampang dan Kota Kinabalu.
Dalam lawatan tersebut, Perdana Menteri dijadual memulakan tinjauan di lokasi tanah runtuh di Country Heights Penampang di Pekarangan Tempat Letak Kereta, Blok 20 pada 2.15 petang.
Seterusnya, Anwar akan melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kolopis di Sekolah Kebangsaan St Paul Kolopis, Penampang pada 3 petang bagi melihat sendiri keadaan mangsa dan memastikan keperluan mereka terjamin sepanjang berada di pusat berkenaan.
Lawatan diteruskan ke PPS Kampung Sarapung, Penampang pada 3.40 petang di mana Perdana Menteri akan meluangkan masa bersama dengan mangsa bencana untuk mendengar permasalahan yang dihadapi dan memberikan kata-kata semangat kepada mereka.
Pada 4.30 petang, Perdana Menteri akan meninjau kawasan tanah runtuh di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, Kota Kinabalu sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah, seramai 3,325 orang daripada 964 keluarga ditempatkan di 27 PPS di Membakut, Penampang, Papar, Putatan dan Sipitang, serta satu pusat pemindahan kekal di Beaufort pada petang semalam.
Bencana tanah runtuh di Sabah telah meragut 13 nyawa manakala banjir mengorbankan seorang mangsa setakat ini.
Pada Isnin lepas, Perdana Menteri meluluskan peruntukan segera RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi membantu mangsa terjejas banjir di negeri berkenaan.
Menurut Perdana Menteri, jumlah itu adalah tambahan kepada RM11 juta yang telah disalurkan melalui kerajaan negeri bagi tujuan pembaikan segera kemudahan asas di kawasan terlibat. - Bernama
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual melawat Sabah untuk meninjau situasi bencana
- Anwar akan melawat lokasi tanah runtuh dan pusat pemindahan sementara untuk memastikan keperluan mangsa terjamin
- Bencana tanah runtuh dan banjir di Sabah telah menyebabkan 14 orang meninggal dunia
- Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan RM10 juta bagi membantu mangsa bencana
- Jumlah keseluruhan bantuan yang telah disalurkan adalah RM21 juta termasuk RM11 juta dari kerajaan negeri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
