Anwar jemput PM Thailand baharu ke Malaysia

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjemput Perdana Menteri Thailand yang baharu Anutin Charnvirakul untuk melakukan kunjungan ke Malaysia selepas beliau memulakan tugas secara rasmi.
Anwar menerusi hantaran di Facebook berkata, jemputan itu beliau sampaikan kepada Anutin semasa perbualan mereka menerusi panggilan telefon pada Khamis.
"Kunjungan (Anutin) itu antaranya bagi mempererat hubungan baik kedua-dua negara berjiran.
"Kami membincangkan mengenai perkembangan terkini di sempadan Thailand-Kemboja. Saya menekankan penting bagi semua pihak mengekalkan ketenteraman dan tidak membiarkan sebarang perbezaan mencetuskan ketegangan yang tidak perlu,” katanya.
Anwar turut menyeru agar segala isu yang timbul dibawa ke meja rundingan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Bersama (JBC).
"Malaysia percaya bahawa semangat dialog, diplomasi dan persefahaman adalah jalan terbaik untuk menjamin keamanan dan kestabilan serantau,” katanya.
Anutin, 58, yang merupakan ketua parti Bhumjaithai secara rasmi memegang jawatan Perdana Menteri Thailand ke-32 pada 7 September lepas setelah menerima perkenan diraja sekali gus menandakan lembaran baharu dalam kepimpinan politik negara itu. - Bernama
Ringkasan AI
- Anwar menjemput Perdana Menteri Thailand baharu untuk berkunjung ke Malaysia
- Jemputan itu disampaikan melalui panggilan telefon
- Kunjungan tersebut bertujuan mempererat hubungan baik kedua-dua negara berjiran
- Anwar dan Anutin membincangkan perkembangan terkini di sempadan Thailand-Kemboja serta menekankan pentingnya ketenteraman
- Anutin Charnvirakul secara rasmi menjadi Perdana Menteri Thailand ke-32 pada 7 September
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
