Enggan pakai tali pinggang keledar, penumpang bas disaman

KUALA LUMPUR - "Maaf, sudah menjadi kebiasaan saya tidak memakai tali pinggang keledar apabila menaiki bas."
Demikian alasan seorang penumpang bas yang disaman selepas dikesan tidak memakai tali pinggang keledar dalam Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Plaza Tol Sungai Besi, di sini pada Khamis.
Lelaki berusia 33 tahun itu merupakan antara empat penumpang yang dikenakan saman kerana masih berdegil serta memberikan pelbagai alasan untuk tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Pengarah JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, alasan sedemikian sering digunakan oleh penumpang bas yang gagal memakai tali pinggang keledar.
"Memang segelintir penumpang bas akan memberi alasan seperti lupa untuk memakai, selain sudah menjadi kebiasaan kerana tidak pernah disaman sebelum ini," katanya dalam sidang akhbar di Plaza Tol Sungai Besi, di sini pada Khamis.
Menurut Hamidi, walaupun pengusaha bas ekspres telah mengambil inisiatif menampal notis peringatan dan menyiarkan rakaman audio untuk mengingatkan penumpang, namun tahap pematuhan masih rendah.
"Notis saman yang dikenakan ini adalah kepada penumpang, dan mereka perlu membayar saman sebanyak RM300," katanya.
Dalam operasi yang bermula jam 10 pagi dan berakhir pada 12 tengah hari itu, Hamidi memaklumkan sebanyak 203 kenderaan perdagangan telah diperiksa, dan 51 daripadanya telah diambil tindakan.
“Dua kenderaan disita kerana kesalahan serius seperti Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans tamat tempoh, manakala 132 notis saman dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan,” katanya.
Ringkasan AI
- JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjalankan Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Sungai Besi
- Seorang lelaki berusia 33 tahun disaman kerana tidak memakai tali pinggang keledar semasa menaiki bas
- Empat penumpang bas dikenakan saman kerana berbagai alasan untuk tidak mematuhi peraturan memakai tali pinggang keledar
- Notis saman yang dikenakan kepada penumpang adalah sebanyak RM300
- Dalam operasi tersebut, 203 kenderaan perdagangan diperiksa dengan 51 daripadanya diambil tindakan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
