Pas perlu terajui PN – Mohamed Sukri

SHAH ALAM - Pas perlu menjadi teras utama dalam memperkasakan Perikatan Nasional (PN) berdasarkan pengalaman panjang, legitimasi politik serta kekuatan akar umbi parti itu.
Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, Pas telah menempuh 74 tahun perjuangan politik dan dakwah sekali gus membina kekuatan serta pengalaman yang tiada tandingan dalam sejarah politik tanah air.
“Dengan kedudukan sebagai parti terbesar di Parlimen Malaysia, saya tegaskan bahawa Pas bukan sahaja layak, malah wajib menjadi peneraju utama PN dan negara,” ujarnya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, legitimasi politik Pas telah terbukti menerusi pentadbiran Kelantan selama lebih 30 tahun dengan rekod integriti; dasar mesra rakyat di Terengganu; kepimpinan stabil di Kedah; serta pentadbiran bersih dan berprinsip di Perlis.
Menurutnya, sejarah panjang itu membuktikan Pas tidak pernah mengkhianati rakyat, malah PN ditubuhkan sebagai platform untuk menyelamatkan negara daripada politik bobrok.
“Dalam koalisi ini, Pas adalah teras dengan ideologi Islam serta kekuatan akar umbi yang kukuh. Justeru, tidak dapat dinafikan Pas berhak menawarkan calon Perdana Menteri,” ujarnya.
Mengulas syarat calon Perdana Menteri, beliau menegaskan bahawa ia bukan semata-mata soal individu, tetapi soal amanah dan legitimasi.
Jelasnya, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang telah menegaskan bahawa Perdana Menteri mestilah berusia bawah 70 tahun supaya negara dipimpin dengan tenaga dan wawasan segar.
“Sejarah juga membuktikan bahawa Tunku Abdul Rahman dilantik sebagai Perdana Menteri pada usia 54 tahun; Tun Abdul Razak (48); Tun Hussein Onn (53); Tun Dr Mahathir Mohamad ketika kali pertama (56); Tun Abdullah Ahmad Badawi (63); Datuk Seri Najib Razak (55); dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (61) — semuanya dalam lingkungan usia ideal.
“Hanya Tun Mahathir pada usia 92 tahun (kali kedua) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada usia 75 tahun jelas telah melangkaui tahap usia sesuai untuk memimpin negara,” ujarnya.
Mohamed Sukri menegaskan bahawa dengan legitimasi politik, rekod integriti, pengalaman panjang serta kekuatan akar umbi, Pas bersedia menjadi nadi utama PN demi menyelamatkan Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

