Pasukan keselamatan Poland tembak jatuh dron atas bangunan kerajaan di Warsaw

WARSAW - Pasukan keselamatan Poland menembak jatuh sebuah dron yang terbang di atas bangunan kerajaan di Warsaw, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) pada Isnin, memetik Perdana Menteri Donald Tusk.
Tusk dalam kenyataan di platform media sosial X berkata, dron itu turut terbang di atas Istana Belvedere, kediaman rasmi presiden Poland.
Dua warga Belarus telah ditahan berhubung insiden itu, tambah Tusk, sambil memaklumkan polis sedang menyiasat keadaannya.
Pihak berkuasa setakat ini belum mendedahkan jenis dron yang terlibat atau sama ada ia boleh digunakan untuk tujuan ketenteraan.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Wieslaw Szczepanski memberitahu saluran Polsat News bahawa insiden itu membuktikan keberkesanan perkhidmatan Kementerian Dalam Negeri dalam melindungi institusi terpenting negara, lapor agensi berita PAP.
Penerbangan dron itu berlaku ketika ketegangan mengenai ruang udara Poland semakin meningkat.
Minggu lalu, dron Rusia memasuki wilayah Poland semasa serangan ke atas Ukraine, sekali gus melanggar ruang udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Tentera Udara Poland dengan sokongan pasukan NATO berjaya menembak jatuh beberapa dron berkenaan buat kali pertama.
Menurut ahli politik Barat, terdapat tanda-tanda bahawa pencerobohan ruang udara itu bukan secara tidak sengaja.
Masih belum jelas sama ada dron berkenaan diprogramkan untuk menyerang sasaran di wilayah NATO atau sekadar bertujuan melakukan provokasi atau menguji pertahanan udara NATO. - Bernama
Ringkasan AI
- Pasukan keselamatan Poland menembak jatuh sebuah dron yang terbang di atas bangunan kerajaan di Warsaw
- Dron itu juga terbang di atas Istana Belvedere, kediaman rasmi presiden Poland
- Dua warga Belarus telah ditahan berhubung insiden itu
- Kejadian itu meningkatkan ketegangan mengenai ruang udara Poland ditengah-tengah kebimbangan serangan dari Rusia
- Poland dengan sokongan NATO berjaya menembak jatuh beberapa dron Rusia yang memasuki wilayahnya baru-baru ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
