Masters Malaysia: Zii Jia, rakan kena buktikan kemampuan

Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mahu melakar keputusan positif menjelang Perodua Malaysia Masters 2019 yang akan membuka tirai esok, di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mahu melakar keputusan positif menjelang Perodua Malaysia Masters 2019 yang akan membuka tirai esok, di Axiata Arena, Bukit Jalil.
A
A
A

KEJOHANAN Perodua Masters Malaysia yang bermula esok sehingga Ahad ini dilihat platform terbaik pemain naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), khususnya wakil tunggal perseorangan lelaki Lee Zii Jia untuk membuktikan kemampuan diri.

Mereka perlu menunjukkan yang mereka layak dipanggil pemain senior berdasarkan merit sendiri, bukan kerana penghijrahan pemain-pemain senior yang beralih angin menjadi pemain profesional.

Perkara itu diakui oleh Zii Jia yang tampil mengajak rakan-rakannya mengisi “kekosongan” dengan penuh rasa tanggungjawab.

“Memang kalau kita tengok kebanyakan pemain dalam BAM kini adalah pemain muda. Saya harap pemain-pemain muda dalam BAM, bukan saya seorang tetapi semua pemain muda lain, tidak menjadikan ini sebagai beban sebaliknya menganggap ia satu tanggungjawab untuk membuktikan generasi kita mampu mengambil alih tugas ini,” katanya dipetik berkata dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersempena kejohanan itu, hari ini.

Pada Masters Thailand minggu lalu, pemain berusia 21 tahun itu menamatkan saingan di peringkat suku akhir selepas akur kepada pemain berpengalaman Brice Leverdez dari Perancis.

Kelebihan beraksi di rumah sendiri mahu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Lee Zii Jia dalam PMM2019 yang akan bermula esok 15 hingga 20 Januari 2019, di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Kelebihan beraksi di rumah sendiri mahu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Lee Zii Jia dalam PMM2019 yang akan bermula esok 15 hingga 20 Januari 2019, di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Antara pemain BAM yang akan beraksi di Masters Malaysia ialah Goh Jin Wei, Lee Ying Ying, Sonia Cheah (perseorangan wanita), Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita), Goh Soon Huat-Shevon Lai, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (beregu campuran) dan Aaron Chia-Wooi Yik Soh, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (beregu lelaki).

Mengakui tugas getir menunggunya pada kejohanan kali ini apabila perlu memulakan saingan di pusingan kelayakan, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu berazam menampilkan prestasi cemerlang.

Artikel Berkaitan:

“Saya rasa satu semangat untuk semua pemain perseorangan lelaki dan BAM dengan kembalinya Datuk Lee Chong Wei menjalani latihan bersama kami kerana dia ialah pemain yang mampu memimpin kami. Bukan mudah juga kerana kelompok 40 pemain terbaik dunia akan bersaing kali ini.

“Kalau boleh saya mahu sampai hingga ke separuh akhir ataupun final kerana saya akan beraksi di hadapan penyokong sendiri. Namun saya tidak mahu terlalu memikirkannya agar tidak berasa tertekan,” katanya yang akan memulakan saingan menentang Zhou Zeqi dari China.

Menantinya selepas itu sama ada pemain Thailand, Sitthikom Thammasin atau seorang lagi pemain China, Zhao Junpeng.

Dua pemain profesional perseorangan lelaki negara Liew Daren dan Chong Wei Feng turut beraksi pada kejohanan itu.

Kem badminton membuka tirai tahun ini dengan keputusan cemerlang apabila dua beregu profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran) dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) menjuarai kejohanan Masters Thailand pada Ahad.

Kejohanan berstatus Jelajah Dunia BWF Super 500, Perodua Malaysia Masters 2019 yang akan berlangsung di Axiata Arena itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan AS$350,000 (RM2.24 juta). - Bernama