ASEAN–China digesa perkukuh pembangunan bandar, pelihara budaya

CHINA - ASEAN dan China digesa memperkukuh kerjasama dalam pembangunan bandar mampan dengan menggabungkan inovasi digital dan pemeliharaan budaya.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pertumbuhan pesat populasi bandar di rantau ini menuntut langkah proaktif bagi mengelakkan beban sumber dan ketidaksamarataan sosial.
Menurutnya, tanpa langkah proaktif, peningkatan permintaan terhadap perumahan, pengangkutan dan infrastruktur boleh membebankan sumber serta memperluas jurang ketidaksamarataan sosial.
"Setiap krisis membawa bersama peluang. Inilah kesempatan kita untuk meletakkan diri sebagai peneraju global dalam membina bandar yang pintar, inklusif dan peka iklim.
"ASEAN dan China perlu menggabungkan kekuatan masing-masing iaitu kehebatan digital China dan kepelbagaian budaya ASEAN untuk menetapkan piawaian global dalam pembinaan neutral karbon, penggunaan semula warisan secara adaptif dan tadbir urus digital.
"Bersama-sama, marilah kita membina bandar yang bukan sahaja berteraskan digital, tetapi juga kaya budaya. Marilah kita sambut kemajuan tanpa kehilangan identiti," katanya ketika berucap pada ASEAN–China Ministerial Roundtable on Construction 2025, di Guilin, China pada Isnin.
Kor Ming berkata, Malaysia selaku Presiden Perhimpunan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN Habitat) menegaskan, pemerkasaan kecerdasan digital dan pewarisan budaya merupakan dua tonggak utama untuk pembangunan bandar mampan.
Katanya, Malaysia sudah menunjukkan hasil melalui penggunaan Industrialised Building Systems (IBS) yang mempercepatkan tempoh pembinaan dan mengurangkan sisa, manakala teknologi Building Information Modelling (BIM) pula membantu mengurangkan kesilapan dalam pengurusan projek.
"Selain itu, teknologi baharu seperti dron, pembinaan modular dan alat pengurusan digital turut diteroka bagi meningkatkan keselamatan serta kecekapan," katanya.
Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan negara-negara ASEAN agar memelihara warisan budaya sambil memanfaatkan teknologi.
"Pembangunan berkualiti tinggi harus memiliki roh – satu jiwa yang mencerminkan semangat rakyatnya. Pengalaman nasional kita membuktikan bahawa pewarisan budaya dan kemajuan boleh wujud bersama, hasil daripada tenunan unik Malaysia daripada pelbagai budaya, kepercayaan dan warisan.
"Daripada struktur kayu megah rumah Melayu hingga rumah kedai di George Town dan Melaka, semuanya menceritakan siapa diri kita,” ujarnya.
Ringkasan AI
- ASEAN dan China digesa memperkuat kerjasama dalam pembangunan bandar mampan melalui gabungan inovasi digital dan pemeliharaan budaya
- Populasi bandar yang berkembang pesat menuntut langkah proaktif untuk mengelakkan beban sumber dan ketidaksamarataan sosial
- Pembangunan bandar pintar, inklusif dan peka iklim dianggap sebagai peluang dari setiap krisis
- Penggunaan Industrialised Building Systems dan teknologi Building Information Modelling oleh Malaysia menunjukkan kemajuan dalam pembangunan bandar mampan
- Negara-negara ASEAN diingatkan untuk memelihara warisan budaya sambil memanfaatkan teknologi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
