Presiden baharu MMA ikrar perkasa peranan doktor dalam kepimpinan

GEORGE TOWN - Presiden baharu Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo berikrar untuk memperkasakan peranan doktor dalam kepimpinan, menyokong dasar yang adil serta mengembalikan autonomi profesional.
Beliau juga menekankan isu yang merangkumi fi pengamal perubatan am (GP), jawatan kontrak, amalan pentadbir pihak ketiga sehingga kepada reformasi perundangan perubatan yang perlu ditangani bagi memulihkan keadilan dan kelestarian.
"Doktor bukan sahaja perlu berada di meja membuat keputusan, tetapi terlibat secara signifikan. Kepakaran kita mesti membentuk dasar, bukan sekadar mengesahkannya. Penyertaan secara simbolik tanpa pengaruh hanya melemahkan kepercayaan dan hasil.
"Kita adalah penyembuh, pendukung, pendidik, inovator dan pemimpin. Bersama-sama, kita akan memperjuangkan profesion kita, melindungi pesakit dan membentuk sistem penjagaan kesihatan yang layak untuk masa depan Malaysia,” katanya dalam ucapan sulung pada Majlis Jamuan Tahunan MMA di sini pada Sabtu.
Majlis disempurnakan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Dalam ucapannya, beliau memuji usaha berterusan Dzulkefly memperjuangkan profesion perubatan, khususnya dalam menangani isu doktor kontrak, memperkenalkan pindaan Akta Perubatan berkaitan pengiktirafan pakar, mempromosikan pendigitalan serta memajukan inisiatif kesihatan awam.
Dr Thirunavukarasu secara rasmi mengambil alih jawatan daripada Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira dan akan berkhidmat untuk tempoh setahun sebagai ketua persatuan doktor terbesar negara. - Bernama
Ringkasan AI
- Presiden baharu MMA Datuk Dr Thirunavukarasu Rajoo berkomitmen untuk menguatkan peranan doktor dalam kepimpinan dan memastikan dasar yang adil
- Beliau memfokuskan kepada isu seperti fi GP, jawatan kontrak, dan amalan pentadbir pihak ketiga
- Menekankan pentingnya kebijakan yang dibentuk doktor dan bukan sekadar disahkan tanpa pengaruh
- Dr Thirunavukarasu menggantikan Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira sebagai Presiden MMA untuk tempoh setahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
