McDonald’s Malaysia serah zakat korporat RM150,000 kepada MAIM

MELAKA- McDonald’s Malaysia meneruskan komitmennya sebagai syarikat 100 peratus milik orang Islam dengan menyerahkan zakat korporat berjumlah RM150,000 kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Terdahulu, McDonald’s Malaysia telah mengumumkan pembayaran zakat korporat sebanyak RM2 juta bagi tahun 2025 ke seluruh negara.
Sejak menjadi syarikat milik penuh orang Islam pada tahun 2017, McDonald’s Malaysia telah menyalurkan lebih RM14 juta zakat kepada pusat pusat zakat negeri di seluruh Malaysia. Selain zakat, McDonald’s Malaysia turut melaksanakan pelbagai inisiatif yang memberi impak positif kepada komuniti.

Penyerahan berlangsung di McDonald’s Pandu-Lalu Kota Laksamana, Melaka, disempurnakan oleh Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan, McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar kepada Ketua Menteri Melaka, merangkap Pengerusi MAIM, Datuk Seri Ab Rauf Jusoh.
Dengan penyerahan tahun ini, jumlah keseluruhan zakat McDonald’s Malaysia kepada negeri Melaka telah mencecah RM761,000.
Selain zakat korporat, McDonald’s Malaysia turut menzahirkan komitmen terhadap masyarakat setempat dengan menyantuni keluarga asnaf melalui pemberian 100 Kotak Rezeki kepada asnaf dan menyediakan 1,000 hidangan percuma untuk komuniti yang hadir ke majlis itu.

Menurut Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, McDonald’s Malaysia berbesar hati dapat menunaikan amanah kepada ummah iaitu berzakat dan menyumbang kepada asnaf di negeri Melaka.
“Alhamdulillah, bagi kami, kejayaan perniagaan bukan hanya diukur melalui keuntungan semata-mata, tetapi juga bagaimana kelebihan ini boleh digunakan untuk membangunkan masyarakat. Inilah nilai yang kami amalkan sebagai perniagaan berteraskan komuniti,” katanya.
Di negeri Melaka sahaja, McDonald’s mempunyai 15 restoran yang telah membuka peluang pekerjaan kepada lebih 740 rakyat tempatan.

Sebagai sebuah syarikat yang berhasrat menjadi jiran prihatin kepada komuniti di sekitar 370 restorannya di seluruh negara, McDonald’s Malaysia setiap tahun melaksanakan lebih 10,000 aktiviti kemasyarakatan menerusi program Komuniti @ McDonald’s.
Program tersebut termasuk sumbangan kepada anak-anak yatim, menyumbang moreh ke masjid dan surau, menyantuni warga emas di pusat jagaan pada musim perayaan dan lain lain lagi.
Melaka merupakan negeri kelapan menerima zakat korporat daripada McDonald’s Malaysia setelah syarikat itu menjelajah ke Negeri Perak, Terengganu, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Sabah untuk melunaskan rukun Islam berzakat dan sumbangan kepada golongan asnaf di sana.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
