Anwar zahir dukacita tragedi banjir kilat di Bali

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita susulan kejadian banjir kilat yang meragut sekurang-kurangnya 14 nyawa di Bali, Indonesia.
Dalam satu kenyataan menerusi media sosial pada Jumaat, Anwar berkata, beliau turut mendoakan kekuatan kepada keluarga mangsa yang terkorban dan mereka yang terjejas akibat bencana itu.
“Saya amat berdukacita dengan kehilangan nyawa akibat banjir kilat di Bali. Doa dan ingatan saya bersama keluarga yang kehilangan insan tersayang serta semua yang kediaman dan mata pencarian mereka terjejas,” katanya.
Beliau turut menyatakan solidariti terhadap Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan rakyat negara itu dalam menghadapi bencana tersebut.
“Dalam saat yang sukar ini, saya berdiri seiring dengan Prabowo dan rakyat Indonesia. Malaysia turut berdukacita bersama anda dan kami akan terus mendoakan kesejahteraan rakyat Bali ketika mereka bangkit semula daripada bencana ini,” katanya.
Media antarabangsa melaporkan, banjir kilat yang melanda pada Rabu lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang dengan dua lagi dilaporkan hilang.
Lebih 560 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan selepas rumah mereka musnah atau rosak teruk.
Banjir turut menjejaskan lebih 120 lokasi di tujuh daerah dan kota sekitar Bali.
Pihak berkuasa masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang, selain kerja-kerja pembersihan kawasan terjejas.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyuarakan kesedihan terhadap banjir kilat di Bali yang meragut 14 nyawa
- Anwar mendoakan kekuatan untuk keluarga yang terjejas dan mereka yang hilang mata pencarian akibat bencana ini
- Beliau menyatakan solidariti bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, dan rakyat Indonesia
- Lebih 560 penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan setelah kehilangan tempat tinggal
- Banjir kilat mengakibatkan kerosakan di lebih 120 lokasi di tujuh daerah dan kota di Bali
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

