Ensany Global lancarkan platform Orphan Society

SHAH ALAM – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ensany Global melancarkan platform OrphanSociety, platform pertama seumpamanya di Malaysia yang membolehkan penderma dari seluruh dunia menaja serta membantu anak-anak yatim di Gaza, Palestin secara dalam talian.
Ketua Pegawai Eksekutif Ensany Global, Kamal Al Jefri berkata, platform tersebut membuka ruang untuk sumbangan dibuat secara berterusan dan telus termasuk bantuan makanan, perlindungan, pendidikan, latihan kemahiran serta sesi kaunseling trauma bagi anak-anak yang menjadi mangsa konflik.
“Melalui OrphanSociety, para penderma boleh memilih anak-anak yatim secara khusus dan membuat sumbangan sama ada secara bulanan, suku tahunan, tahunan ataupun sekali gus (one off). Ia adalah sistem yang telus, mesra pengguna dan dihubungkan terus dengan penjaga atau saudara mara atau NGO sah yang menjaga anak-anak yatim ini di Gaza, Palestin.
“Caranya mudah, hanya layari website https://www.orphanssociety.com/ dan boleh memilih anak yatim yang ingin ditaja, ada lebih 1000 anak yatim yang berumur daripada tiga hingga 17 tahun. Ia umpama program anak angkat namun secara online.
“Setiap bulan, kami akan memberi peluang kepada penaja untuk membuat sesi panggilan video bagi melihat sendiri perkembangan anak yatim yang ditaja,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Selasa.

Jelas beliau lagi, inisiatif yang diusahakan ini bukan sahaja membantu sumbangan disampaikan secara terus, malah membantu menjimatkan kos pengurusan.
“Niat kami mudah, kami mahu sumbangan disampaikan terus kepada penerima. Malah kami mempunyai wakil di Gaza yang dapat menyalurkan dan melaksanakan amanah yang diberikan oleh penderma. Jadi tiada keperluan untuk wakil dari Malaysia ke sana kerana kos pengangkutan sangat tinggi.
“Sebenarnya terdapat lebih 70,000 anak yatim di Gaza namun buat permulaan, kami hanya mampu membantu dan menguruskan hanya 1,000 anak yatim.
“Kos hidup di sana sangat tinggi kerana sukar untuk dapatkan barangan mentah. Bayangkan kos sebiji bawang berharga USD15 bersamaan RM63, telur USD5 bersamaan RM21,” katanya.
Pelancaran OrphanSociety disempurnakan oleh Presiden Majlis Senator Malaysia, Datuk Seri Khairudin Samad, yang turut memuji usaha Ensany Global sebagai bukti keprihatinan rakyat Malaysia terhadap penderitaan masyarakat di Gaza.
Kamal menegaskan, pengenalan platform itu memperlihatkan Malaysia bukan sahaja bersimpati, malah turut bertindak secara nyata dalam menyantuni nasib anak-anak yatim yang amat memerlukan perhatian.
Tambahnya lagi, jarak geografi tidak seharusnya menjadi penghalang untuk rakyat Malaysia menyalurkan kasih sayang dan solidariti kepada anak-anak yatim di Gaza.
“Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua rakan strategik antarabangsa, NGO, penderma tetap serta seluruh pasukan Ensany di Malaysia, Timur Tengah dan seluruh dunia yang bekerja keras tanpa henti dalam menjayakan misi ini,” katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
