Op Sky: 20 pegawai bank akan didakwa

Azam Baki
Azam Baki
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 20 pegawai bank bakal didakwa di mahkamah pada hujung September atau awal Oktober ini selepas dipercayai meluluskan pinjaman berjumlah RM700 juta kepada penjawat awam.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pendakwaan akan dibuat mengikut Akta SPRM.

"SPRM turut melaksanakan proses pemulihan (recovery) wang tunai berjumlah RM250 juta yang dipercayai hasil kegiatan berkenaan.

"Sekiranya pemulihan gagal dicapai, mereka akan dituduh di mahkamah kerana enggan bersetuju membuat pemulihan mengikut Akta SPRM 2009 atau Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Selasa.

Sebelum ini, SPRM merampas kira-kira 4,000 dokumen bagi membantu siasatan berhubung kelulusan pinjaman tersebut yang dipercayai membabitkan kegiatan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram.

Kes terbabit dikesan selepas pihaknya berjaya menumpaskan sindiket perunding kewangan dan institusi perbankan yang aktif sejak tahun 2020.

Azam berkata, siasatan mendapati sindiket berkenaan menawarkan khidmat perunding kewangan kepada penjawat awam melalui media sosial selain menganjurkan jelajah ke beberapa jabatan dan kementerian.

Terdahulu, SPRM dalam Ops Sky menahan 12 individu termasuk dua wanita berusia lingkungan 20 hingga 40-an dalam serbuan di 24 lokasi sekitar Lembah Klang pada 13 Januari lalu.

Artikel Berkaitan:

Individu terbabit yang ditahan terdiri daripada dua pengarah syarikat perunding kewangan, seorang pengarah yayasan, pengurus serta bekas pengurus jualan institusi kewangan.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!