Datuk tersilap jemput cucu di taska

SYDNEY - Sebuah pusat jagaan kanak-kanak di pinggir selatan Sydney, Australia, menjadi perhatian umum selepas seorang lelaki warga emas tersilap menjemput kanak-kanak yang bukan cucunya pada Isnin lalu.
Insiden itu berlaku di First Steps Learning Academy apabila seorang datuk membawa pulang bayi berusia setahun yang sedang tidur di sebuah bilik.
Kesilapan itu hanya disedari apabila ibu kepada bayi berkenaan tiba untuk menjemput anaknya, namun mendapati anak tersebut tiada di pusat jagaan itu.
“Saya tidak mampu menggambarkan perasaan ketika itu.
"Pihak taska tidak dapat memberikan maklumat jelas mengenai lelaki yang menjemput anak saya, malah mereka tidak tahu siapa dia dan siapa yang sepatutnya dijemput,” kata ibu mangsa kepada Sydney Morning Herald, dipetik BBC.
Bagaimanapun, ibu tersebut tidak menyalahkan lelaki warga emas itu.
“Kami tidak marah padanya, sebaliknya kami menyalahkan pihak pusat jagaan kerana kecuaian mereka,” ujarnya.
Datuk itu berasa amat terpukul dengan kejadian tersebut dan segera memulangkan kanak-kanak berkenaan sebaik menyedari kesilapan.
Pengarah First Steps Learning Academy, Trisha Hastie mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan kakitangan yang terlibat telah diberhentikan.
“Kami dengan tulus memohon maaf kepada keluarga yang terkesan dengan insiden amat menyedihkan ini. Prosedur keselamatan juga kini diperketat bagi mengelak perkara sama berulang,” jelasnya.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Pengawalseliaan Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-kanak New South Wales menyifatkan insiden berkenaan sebagai serius dan amat membimbangkan.
Satu siasatan rasmi telah dilancarkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

