Nahas 5 penuntut IKM: MPV dipandu laju, hilang kawalan sebelum bertembung lori

TUARAN - Lima penuntut Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish yang mereka naiki dipandu laju sebelum hilang kawalan dan bertembung dengan sebuah lori di Jalan Gayang-Tuaran, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintenden Noraidin Ag Maidin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu yang berlaku di simpang Rela Gayang.
“Siasatan awal mendapati Toyota Wish dalam perjalanan dari arah Kota Kinabalu menuju Kota Belud dipandu laju sebelum hilang kawalan, lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh lori dari arah Tuaran ke Kota Kinabalu.
“Kesemua mangsa yang tersepit dalam kenderaan berjaya dikeluarkan oleh pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan,” katanya dalam kenyataan malam Jumaat.
Beliau berkata, mayat kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Tuaran untuk proses bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan beberapa individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran, Inspektor Haffiz di talian 011-61600964 atau hadir ke balai polis berhampiran,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa yang terkorban ialah Harianto Anuar, Neil Stanley Pletinie, Mohammad Ikhwan Kurniawan, Mohamad Zuhaikal Mohd Zaidy dan Daniel Sarag Jimmy.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
