Bekalan makanan di Negeri Sembilan cukup

Anggota KPDNHEP membuat pemeriksaan bekalan makanan di sebuah pasar raya di sini.
Anggota KPDNHEP membuat pemeriksaan bekalan makanan di sebuah pasar raya di sini.
A
A
A

SEREMBAN - Bekalan makanan dan keperluan harian di Negeri Sembilan mencukupi pada hari ketiga arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz berkata, walaupun ada sesetengah pasar raya yang mengalami pengurangan barangan harian namun pihaknya dimaklumkan bekalan tambahan akan dilakukan sebaik sahaja barang keperluan sampai di pasar raya tersebut.

"Secara keseluruhannya tiada masalah bekalan makanan terutamanya barangan kawalan seperti gula, minyak masak dan tepung gandum.

"Memang ada rak-rak kosong kesan daripada pembelian panik pada 17 Mac lalu namun pasar raya maklumkan bekalan akan ditambah dan ada yang telah diterima dan akan diisi semula sebaik sahaja bekalan sampai," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, masyarakat tidak perlu membuat pembelian panik sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan kerana keperluan makanan adalah mencukupi dan boleh didapati pada bila-bila masa.

Bekalan keperluan asas mencukupi.
Bekalan keperluan asas mencukupi.

Dalam pada itu, Ain Arjuna berkata, bekalan topeng muka akan pulih dalam masa terdekat.

Katanya, pihaknya sedang berusaha mendapatkan bekalan topeng muka untuk masyarakat di negeri ini secepat mungkin.

Artikel Berkaitan:

"Bekalan ada cuma terhad, bekalan tetap sampai pada premis cuma menjadi 'too fast moving item', bila letak habis cepat sangat habis, ada premis buat inisiatif hadkan pembelian.

"Bagi bekalan topeng muka ini, saya minta semua bersabar sedikit masa, Insya-ALLAH kita sedang kerja kuat nak dapatkan bekalan untuk rakyat negeri ini," katanya.

Dalam pada itu, Ain Arjuna berkata, terdapat tiga premis di Kuala Pilah dan Seremban dikenakan kompaun kerana menaikkan harga topeng muka.

Katanya, kesemua pengusaha ini telah dikenakan denda kompaun sebanyak RM30,000.

Sekiranya terdapat masalah bekalan barangan kawalan, orang ramai dinasihatkan supaya mengadu terus ke saluran biasa atau Bilik Gerakan KPDNHEPNS di 06-6016500 yang beroperasi bermula jam 8 pagi hingga 10 malam setiap hari sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini.