'Harap ini kali terakhir masuk hospital' - Peguam kotak pensel

SHAH ALAM - Peguam dan pempengaruh media sosial, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar, yang lebih dikenali sebagai ‘peguam kotak pensel’, berada dalam keadaan stabil selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat serangan jantung.
Beliau memaklumkan keadaan kesihatannya menerusi siaran langsung di TikTok dan mengesahkan kini sedang berehat di sebuah pusat perubatan di Sunway Damansara.
“Harap ini kali terakhir (masuk hospital). Banyak lagi kerja nak buat, ramai orang berharap dengan saya.
“Keadaan setakat ini so far so good. Tapi tak pasti lagi sampai bila kena dapatkan rawatan di sini,” katanya ketika siaran langsung selama 12 minit pada Jumaat.
Sebelum itu, isterinya, Datin Raja Adzfa Wati Raja Adzman, mengesahkan Ahmad Zaharil mengalami serangan jantung pada tengah hari Khamis.
Menerusi akaun TikTok ‘Kak Engku Effa’, beliau turut memuat naik hantaran berserta foto Ahmad Zaharil dan memohon doa orang ramai agar suaminya kembali sembuh.
Ahmad Zaharil berkata, doktor mendapati jantungnya tersumbat di bahagian luar, namun empat injap jantung disahkan tidak mengalami masalah.
“Pengaliran darah ke jantung saya berlaku di sebelah kanan, orang lain biasanya di sebelah kiri. Jadi empat injap tiada masalah,” jelasnya.
Ahmad Zaharil pernah tular dengan kisahnya menjadi peguam bela kepada seorang wanita India yang ditangkap dan dituduh di mahkamah kerana mencuri kotak pensel pada 1998.
Wanita berkenaan berbuat demikian kerana kesempitan wang tetapi mahu menghadiahkan kotak pensel berharga RM18 kepada anaknya yang mendapat tempat pertama di sekolah.
Sebaik mendapat tahu perkara itu, Ahmad Zaharil pantas mewakili tertuduh dan berjaya mendapatkan hukuman ringan bagi mengelakkan wanita tersebut dipenjara sehingga anaknya terabai.
Pada 2017, Ahmad Zaharil disapa oleh seorang peguam lelaki muda yang memperkenalkan dirinya sebagai anak wanita berkenaan, dan peristiwa tersebut dikongsikan semula menerusi iklan raya berjudul Lembaran Baharu serta tular di media sosial pada Mac tahun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
