Muaythai Kuda Merah kembali gegar Stadium Titiwangsa

ARENA Muay Thai negara kembali meriah sempena Bulan Kemerdekaan ke-68 dengan penganjuran dua acara utama RF3 Super Champion Muaythai Kuda Merah dan Kejohanan Mysinar Championship Muaythai Kuda Merah yang dijadualkan berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Presiden Kelab Muaythai Kuda Merah Kuala Lumpur, Rosli Yaacob, 61, berkata sebanyak enam regu Muay Thai dan satu perlawanan pro boxing akan dipersembahkan di Stadium Titiwangsa pada 9 September ini, lokasi yang sinonim dengan penganjuran kelab itu sejak 2011.
Menurutnya, seramai 14 petinju terbaik dalam dan luar negara sudah mengesahkan penyertaan dalam edisi ke-77 RF3 Super Champion Muaythai Kuda Merah, termasuk penampilan khas legenda Thailand, Saenchai.
“Tumpuan utama pastinya aksi Izat Zaki Aymas Pallas menentang Long Achert dari Kemboja. Selain itu, juara Kejohanan Muaythai Dunia 2023, Nur Amisha Azrilrizal, bakal dicabar petarung Brazil, Milena Calazans.
“Turut mencuri perhatian ialah petinju Muay Thai Komando Gerup Gerak Khas, Wanohai, yang tewas kepada Mazlisham dari Sang Saka Biru PDRM dengan kiraan mata tahun lalu, kini kembali untuk mencabar kejuaraan,” katanya pada sidang akhbar di Kumpulan Karangkraf, Khamis.
Hadir sama, Penasihat Bersama Kumpulan Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah yang juga penasihat Kelab Muaythai Kuda Merah Kuala Lumpur.
Sebagai rekod, kejohanan anjuran Kelab Muaythai Kuda Merah Kuala Lumpur dengan kerjasama RF3 World Sdn Bhd dan RF3 Entertainment, serta Sinar Harian sebagai media rasmi, menyasarkan lebih 7,000 penonton turut mendapat sokongan Tourism Malaysia dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan.
Sementara itu, Rosli berkata Kelab Muaythai Kuda Merah juga bertindak sebagai teknikal kepada penganjur Mysinar dalam Kejohanan Mysinar Championship Muaythai Kuda Merah 2025 yang akan berlangsung dari 14 hingga 15 September.
“Kejohanan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti Festival Budaya Malaysia anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama Tourism Malaysia di Tasik Titiwangsa dari 12 hingga 16 September.
“Ia adalah acara antarabangsa dengan penyertaan peninju dari Kemboja, Iran, Afghanistan, Thailand, Vietnam dan Palestin, yang akan dicabar barisan peninju Malaysia. Jaminan saya, kesemuanya merupakan juara ternama dalam dan luar negara,” katanya.
Sebagai rekod, kemasukan penonton adalah percuma untuk Kejohanan Mysinar Championship Muaythai Kuda Merah 2025.
INFO: RF3 KUDA MERAH
9 SEPTEMBER
Khairy KL7 lwn Tuah Black Owl
Arep Syahril Muaythai Fitnesslab lwn Sajjad (Iraq)
Sani Anak Kepak Sang Saka Biru lwn Wanohai Komando GGK ATM
Jengsi Woma Komando GGK ATM lwn Sheikh Komando Pasukan TUDM (Pro Boxing)
Amisha Muaythai Fitnesslab lwn Milena Calazans (Brazil)
Zahran (Yaman) lwn Nichow (Thailand)
Izat Zaki Aymas Pallas Phet Muaythai lwn Long Achert (Kemboja)
INFO: KEJOHANAN MYSINAR CHAMPOINSHIP MUAYTHAI KUDA MERAH 2025
14 SEPTEMBER
Pekdam Pijo Kelantan lwn Luqman Azim KL Muaythai Akademi
Adhem Gorilla Selangor lwn Zulfaqar AJV Muaythai
Kai Meng Lei AKLS lwn Rohullah (Afghanistan)
Amir Abang (Palestin) lwn Ben Erma Black Bull
Mat Koro Dev Warrior lwn Sang Athit (Vietnam)
Sophcap (Kemboja) lwn Worachat (Thailand)
15 SEPETEMBER
Han Turbo lwn Daniel Taring Mas
Adib KL7 lwn Adib Muaythai Warisan Negeri Sembilan
Van Yeun (Kemboja) lwn Anurarat (Thailand)
Arysh Gorilla Selangor lwn Bashir Red Wolves (Iran)
Epul Gomo lwn Rizal Amin JTT
Nawid Ullah Bakshi (Afghanistan) lwn Phet Anan (Laos)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
