Hasrat Speedy Tigers tertangguh

Impian skuad hoki lelaki negara untuk mengesahkan tiket ke pentas final Super Four Piala Asia 2025 terhenti seketika selepas kecundang 1-4 kepada India.
Impian skuad hoki lelaki negara untuk mengesahkan tiket ke pentas final Super Four Piala Asia 2025 terhenti seketika selepas kecundang 1-4 kepada India.
A
A
A

[DIKEMAS KINI] IMPIAN skuad hoki lelaki negara untuk mengesahkan tiket ke pentas final Super Four Piala Asia 2025 terhenti seketika selepas kecundang 1-4 kepada India dalam perlawanan di Stadium Hoki Rajgir, pada Khamis.

Anak buah Sarjit Singh bermula cemerlang dengan jaringan pantas Muhammad Shafiq Hassan pada minit kedua yang seakan memberi bayangan rentak kemenangan kedua berturut-turut bakal tercipta.

Namun, sorakan kegembiraan itu tidak bertahan lama apabila India segera menggegarkan permainan dengan serangan bertali arus.

Manpreet Singh menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-17 sebelum dua jaringan pantas oleh Sukhjeet Singh (m-19) dan Shilanand Lakra (m-24) menutup babak pertama 3-1, mematahkan rentak Malaysia.

Separuh masa kedua terus milik tuan rumah apabila Vivek Sagar Prasad menambah gol keempat pada minit ke-38, sekali gus menenggelamkan sisa-sisa kebangkitan anak buah Sarjit

Kekalahan itu menyaksikan India melonjak ke puncak kumpulan Super Four dengan empat mata, meninggalkan China kedua diikuti Malaysia masing-masing dengan tiga mata, sementara Korea Selatan hanya mengutip satu mata.

Dalam satu lagi aksi, China menyalakan kembali peluang ke final selepas melakar kemenangan bergaya 3-0 ke atas Korea Selatan.

Malaysia selepas ini akan berdepan Korea Selatan pada Sabtu ini dalam aksi hidup mati yang bakal menentukan sama ada Speedy Tigers mara ke pentas final atau sebaliknya.

Sementara itu, Sarjit mengakui anak buahnya bermain baik dalam 15 minit pertama sebelum melakukan beberapa kesilapan.

Artikel Berkaitan:

Beliau menyatakan bahawa pasukannya dibolosi tiga gol pada suku kedua, dan keadaan itu menyebabkan mereka berdepan kesukaran.

“Persembahan bagus dan kita sentiasa bertambah baik dan saya harap kita mampu ke final.

“Pada perlawanan hari ini ada beberapa perkara perlu diperbaiki antaranya apabila mengawal pemain lawan, kita perlu di depan bukan di belakang.

“Kita bukan dalam kesukaran tapi peluang masih ada dengan syarat kita perlu tewaskan Korea Selatan untuk mara ke final,” kata Sarjit selepas perlawanan.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!