Fenomena 'blood moon' hiasi langit Malaysia 7 September ini

SHAH ALAM - Langit Malaysia bakal dihiasi fenomena gerhana bulan penuh atau 'blood moon' di seluruh negara bermula malam Ahad hingga awal pagi Isnin depan.
Menurut Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), fenomena itu akan berlangsung selama lebih lima jam bermula pukul 11.28 malam pada 7 September hingga 4.55 pagi 8 September waktu Malaysia, dengan fasa penuh kemuncak gerhana berlaku pada pukul 2.11 pagi.
Gerhana bulan berlaku apabila bumi berada di antara matahari dan bulan sehingga bayangannya menutupi permukaan Bulan.

"Ketika kemuncak, bulan akan kelihatan berwarna merah jingga akibat pembiasan cahaya matahari oleh atmosfera bumi, sekali gus digelar Blood Moon," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
MYSA memaklumkan, fenomena tersebut akan berlaku hanya 2.7 hari sebelum bulan berada paling hampir dengan bumi (perigee) pada jarak 364,773 kilometer (km), menjadikan saiznya kelihatan lebih besar iaitu 33.4 arc minit.
Bagi memberi peluang orang ramai merasai pengalaman unik itu, MYSA dengan kerjasama MAHA Tower dan Tourism Malaysia Northern Region akan menganjurkan program cerapan utama di MAHA Tower, Langkawi bermula pukul 10 malam hingga 5 pagi.
Pengunjung berpeluang mencerap fenomena langit dengan teleskop, mengikuti perkongsian ilmu astronomi selain menyaksikan penstriman langsung menerusi Facebook rasmi MYSA.
Lokasi cerapan turut disediakan di seluruh negara bergantung kepada keadaan cuaca.
Fenomena gerhana kali ini dapat disaksikan di seluruh Asia, Afrika, Eropah, Australia dan New Zealand, namun rakyat Malaysia bertuah kerana keseluruhan fasa gerhana boleh dilihat dengan jelas sama ada menggunakan mata kasar, binokular atau teleskop.

Keseluruhan gerhana (tidak termasuk fasa penumbra) akan berlangsung selama tiga jam 30 minit, manakala fasa penuh dijangka kekal selama satu jam 22 minit.
Berikut merupakan jadual fasa gerhana bulan penuh mengikut waktu Malaysia:
Fasa penumbra bermula 11.28 malam (7 September)
Fasa separa bermula 12.26 pagi (8 September)
Fasa penuh bermula 1.30 pagi
Fasa penuh maksima 2.11 pagi
Fasa penuh berakhir 2.53 pagi
Fasa separa tamat 3.56 pagi
Fasa penumbra tamat 4.55 pagi
habis//
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
