Onana kempunan naik gaji

PENJAGA gol Manchester United, Andre Onana dilaporkan gagal dalam usahanya mendapatkan kontrak baharu dengan gaji lebih tinggi selepas permintaannya ditolak pengurus, Ruben Amorim.
Menurut laporan The Athletic, ejen Onana telah mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan United pada musim panas lalu untuk membincangkan kontrak baharu.
Tuntutan itu dikemukakan selepas seluruh skuad dikenakan pemotongan gaji sebanyak 25 peratus berikutan kegagalan kelab layak ke Liga Juara-Juara Eropah.
Onana yang memasuki musim ketiganya bersama United dikritik kerana prestasi tidak konsisten sejak tiba di Old Trafford.
Malah, kedudukannya sebagai penjaga gol utama turut terjejas apabila Amorim lebih banyak memberi kepercayaan kepada Altay Bayindir susulan kecederaan yang dialami pemain Cameroon itu.
Difahamkan, Amorim menolak tuntutan kontrak baharu tersebut dengan alasan situasi kewangan kelab ketika ini tidak sesuai untuk menaikkan gaji mana-mana pemain, lebih-lebih lagi selepas United menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lalu di tangga ke-15.
Selain itu, Amorim juga menilai prestasi Onana belum cukup meyakinkan untuk melayakkannya menerima kontrak baharu dengan nilai lebih tinggi.
Masa depan Onana di Old Trafford kini semakin samar apabila United baru sahaja menandatangani penjaga gol Belgium, Senne Lammens yang dilaporkan akan mencabar kedudukannya sebagai pilihan utama di gawang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

