95 maut dalam serangan berterusan Israel di Gaza

Sekurang-kurangnya 95 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan berterusan Israel di Gaza sejak awal pagi Selasa - Foto: Reuters
Sekurang-kurangnya 95 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan berterusan Israel di Gaza sejak awal pagi Selasa - Foto: Reuters
A
A
A

GAZA - Sekurang-kurangnya 95 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan berterusan Israel di seluruh Semenanjung Gaza sejak awal pagi Selasa, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA) memetik sumber perubatan.

Sumber itu memaklumkan mayat kesemua mangsa telah dibawa ke hospital-hospital di Gaza sejak awal pagi.

Daripada jumlah itu, 35 mayat dihantar ke Hospital Al-Shifa, empat ke klinik Sheikh Radwan, 10 ke Hospital Al-Awda, tiga ke Hospital Al-Aqsa, 31 ke Hospital Nasser dan 12 lagi ke Hospital Arab Al-Ahli.

Israel secara sepihak menamatkan perjanjian gencatan senjata Gaza pada 18 Mac lalu dan menyambung semula pencerobohannya dengan melancarkan siri serangan udara yang mengorbankan sekurang-kurangnya 11,502 orang serta mencederakan 48,900 yang lain, menurut sumber perubatan.

Dalam tempoh 24 jam lalu sahaja, sebanyak 95 mayat dan sekurang-kurangnya 281 mangsa cedera dibawa ke hospital-hospital di Gaza.

Dalam tempoh yang sama, Israel membunuh 12 orang yang sedang mendapatkan bantuan dan mencederakan 90 yang lain, menjadikan jumlah korban dalam kalangan pencari bantuan meningkat kepada 2,306 orang manakala lebih 16,929 lagi cedera. - Bernama

 

 

 

Artikel Berkaitan:

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!