Masjid, surau bawah Jakim, Jawi diarah adakan solat hajat misi Sumud Flotilla

Mohd Na’im.
Mohd Na’im.
A
A
A

SHAH ALAM - Semua masjid dan surau di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persukutuan (Jawi) diarah mengadakan solat hajat pada Rabu bagi mendoakan kelancaran misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, usaha itu bagi memberi sokongan dan mendoakan supaya segala urusan berkait misi berkenaan dipermudahkan.

"Saya menyeru rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendoakan Misi GSF, sebuah misi kemanusiaan yang menyokong Palestin agar diberikan kemudahan dan keselamatan.

"Seperti yang sedia maklum, beberapa organisasi dalam negara telah menyertai misi kemanusiaan ini bermula 31 Ogos lepas.

"Saya telah mengarahkan masjid dan surau di bawah pentadbiran Jakim dan Jawi untuk mengadakan solat hajat pada Rabu bagi mendoakan agar misi kemanusiaan dipelihara oleh ALLAH, diberikan kesejahteraan serta dipermudah segala urusan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada Isnin, sebanyak 24 kapal flotila disertai lebih 1,000 peserta antarabangsa daripada 44 negara termasuk 15 wakil Malaysia berlepas dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol ke Gaza demi membawa mesej kemanusiaan dan bantuan asas.

Sekretariat Sumud Nusantara dalam kenyataan memaklumkan delegasi Malaysia, yang diterajui Cinta Gaza Malaysia (CGM), MAPIM Malaysia dan Cinta Salam Malaysia bersama rakan-rakan NGO menyertai misi GSF yang menuntut pembukaan laluan bantuan serta penghentian segera serangan ke atas Gaza.

Ujar Mohd Na’im, apa sahaja inisiatif dan ikhtiar bermatlamat meringankan kesengsaraan umat Palestin pada masa kini mesti diberi dukungan oleh semua pihak khususnya umat Islam.

"Misi Kemanusiaan GSF yang didokong oleh komuniti antarabangsa adalah perjuangan mulia demi perjuangan kemerdekaan Palestin," menurut beliau.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!