Dua pekerja ladang maut dihempap Hilux terbalik

Mayat dua mangsa yang maut dihempap Hilux terbalik berjaya dikeluarkan sebelum dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.
Mayat dua mangsa yang maut dihempap Hilux terbalik berjaya dikeluarkan sebelum dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.
A
A
A

LIPIS - Dua pekerja ladang warga Bangladesh maut selepas dihempap kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di jalan kawasan Ladang Agropolitan Gahai, Kampung Tanjung Gahai di sini pada Ahad.

Dalam kemalangan kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa, Md Shamim Reza, 24, dan Tuhin Ali, 26, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun bersama empat lagi penumpang warga Bangladesh terselamat.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kenderaan itu dalam perjalanan pulang dari ladang menuju ke rumah kongsi di Kampung Tanjung Gahai.

“Ketika tiba di lokasi kejadian yang berselekoh dan menuruni bukit, kenderaan itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum terbalik.

“Akibat kejadian, mangsa yang berada di bahagian belakang tercampak sebelum dihempap pacuan empat roda terbabit,” katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan.

“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan supaya sentiasa memandu secara berhemah selain memastikan kenderaan diselenggara dengan baik dan selamat digunakan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!